"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Bila Turki mendapat kembali rohnya, ada yang menyangka satu drama, kata Husam

MALAYSIA DATELINE

Husam terkejut ada yang mengaku pengikut Qardawi sanggah pendapat ulamak itu berkaitan kejadian di Turki

Rakyat Turki telah mencipta sebuah keajaiban moden yang hampir tidak dapat dipercayai, mematahkan sebuah rampasan kuasa tentera di subuh hari dengan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri, kata Adun Salor, Datuk Husam Musa.

"Begitu tangkas, cekal dan serentak, sehingga menjadikan rampasan kuasa ini begitu dramatik - seakan sebuah drama.

"Mungkin kerana itu, ramai pimpinan dan penyokong sebuah parti Islam di negara kita memberikan komen senada - 'lakonan Erdogan!', katanya melalui kenyataan hari ini

Komen seperti ini katanya, akibat mereka tidak dapat mengawal 'dendam dan penolakan politik' bagi gerakan Islam selain bentuk dan wadah mereka - sampai ke Turki!

"Erdogan telah digelar berjuang atas jalur sekular. Pemimpin liberal yang telah meninggalkan 'jama'ah Islam'. Tidak ada sedikit pun jasanya kepada Islam dan negara Turki.

"Erdogan bukan lagi dalam senarai anggota 'jama'ah Islam', apa lagi pemimpin gerakan Islam - bila beliau tidak lagi bersama 'jama'ah Islam' asal iaitu Sa'adat Party," katanya.

Beliau mengimbas kembali bagaimana kudeta ini dipatahkan - laungan azan di seluruh masjid secara berterusan, solat subuh memenuhi jalanraya dan dataran, rakyat tanpa senjata meredah tembakan mesingan dan laungan takbir membelah malam.

"Perhatikan reaksi negara Barat pada detik-detik awal rampasan kuasa ini bermula. Mengapa Barat menunggu sehingga rampasan kuasa telah ditundukkan untuk membuat kenyataan menyokong kerajaan demokratik pilihan rakyat?

Mengapa mereka membisu sebelum itu?" soalnya.

Beliau mengajak kita memerhati pergolakan dalaman dan geo politik tempatan dan antarabangsa yang melatari rampasan kuasa ini. Termasuk elemen Gulen yang tidak difahami atau cuba dilupakan oleh setengah pihak yang tidak biasa dengan politik Turki.

Paling menarik katanya adalah keajaiban teknologi moden - apa lagi di tangan seorang pemimpin yang berhati waja, cekap dan bijak.

"I Phone telah mendapat lonjakan baru.

"Face Time Erdogan menyeru kebangkitan rakyat Turki adalah klimaks drama ini!," kata beliau.

Beliau seterusnya mengajak untuk imbas kembali detik-detik peristiwa ini.

"Tentera merampas stesen tv dan radio (TRT) sehingga jalur komunikasi massa tidak lagi di tangan kerajaan. TV Turki mengumumkan, Majlis Keamanan telah ditubuhkan tentera selepas rampasan kuasa didakwa telah berjaya.

"Tentera mengawal dua airport dan menutup yang ketiga. Menutup jambatan yang menghubungkan Istanbul. Mengebom bangunan Parlimen di Ankara sebanyak sembilan kali.

"Bertempur dengan anggota polis di ibu pejabat risikan Turki atau MIT.

"Meletakkan kereta kebal, tentera ber-mesingan, helikopter dan jet pejuang mengawal tempat-tempat strategik di seluruh negara.

"Mengumumkan tentera telah berjaya mengambil alih Turki," katanya.

Semua ini menurut beliau disambut oleh media Barat dengan propaganda yang selari.

"Naratif mereka adalah kudeta ini berjaya. Erdogan cuba melarikan diri ke German tetapi gagal.

"Laman web Geopolitical Future dalam analisa awalnya telah menyiarkan berita kudeta itu telah berjaya.

"Enam jam kemudian, baru mereka memaklumkan, laporan awal mereka agak tersasar," katanya.

Komen selari katanya, dibuat oleh belasan stesen berita Barat termasuk BBC Arabic adalah kerajaan Erdogan telah berjaya ditumbangkan.

"Pengarang Guardian menyambut baik ketewasan Erdogan - pada detik-detik pertama kejadian," katanya.

Menuerutnya, hanya tiga negara, di awal kejadian, membuat kenyataan menyokong kerajaan demokratik dan menolak rampasan kuasa - Morocco, Sudan dan Qatar.

"Nama Malaysia termasuk antara yang diam membisu bersama negara Barat yang lain!

"Kerajaan Saudi membuat kenyataan rasmi setelah lebih separuh hari kejadian!

"Kedutaan Perancis ditutup dua hari sebelum kejadian - seakan mereka telah mendapat berita risikan kejadian ini,"katanya.

Kenyataan pertama Setiausaha Negara Amerika Sayarikat, John Kerry, katanya tidak menyebut apa-apa mengenai sokongan kepada kerajaan demokratik Turki melainkan berharap wujudnya keamanan, kestabilan dan penerusan.



SEPERTI LAKONAN

Menurut Husam, selain kebangkitan pantas rakyat Turki - membuktikan ini bukan sebuah lakonan - juga solidariti parti bukan kerajaan di Turki bersama Erdogan.

"Ini membuktikan benar-benar bahawa rakyat dan pemimpin politik Turki sangat perit untuk kembali semula 'ke neraka rampasan tentera' - kalimat yang digunakan oleh Sheikh Yusuf Qardhawi," katanya.

Dalam keadaan ini, beliau hairan bagaimana pejuang Islam yang sering bersandarkan kepada Qardhawi, tidak menerima pakai pendirian Qardhawi dalam isu ini?

"Pendirian parti rival seperti CHP menyatakan solidariti menolak kudeta dan bersama kerajaan - tidak boleh dilakonkan. Mereka adalah musuh AKP, tetapi demi negara, mereka menegaskan pendirian mereka," katanya.

Rakyat juga katanya, mengharungi tembakan mesingan untuk menyekat kemaraan kereta kebal tentera yang mustahil untuk dilakonkan.

Erdogan sekularkan Turki?

Beliau seterusnya menempelak mereka yang menuduh Erdogan telah mensekularkan Turki.

"Tidak ada rakyat Turki - yang terkenal telah ditukar watak dan ruh mereka oleh tokoh sekular Kamal Attartuk - akan memenuhi masjid-masjid di subuh hari sampai melimpah.

"Senjata rakyat adalah azan, ia dikumandangkan di seluruh Turki.

"Ia telah membangkitkan seluruh rakyat Turki dari tidur mereka untuk mengawal negara mereka. Ini yang menyebabkan air mata saya menitis - apa juga yang dikatakan ke atas rakan-rakan perjuangan kita di Turki - niat mereka, ijtihad politik mereka dan usaha gigih mereka - rakyat Turki telah kembali kepada fitrah mereka - Islam.

"Kejayaan mereka merapatkan semula jiwa rakyat Turki dengan azan, takbir, masjid, solat dan pengorbanan jiwa demi negara mereka - perlu kita akui mulai hari ini. Turki telah mula mendapatkan ruh Islaminya yang telah hilang," kata beliau.



ERDOGAN PEMBERANI

Di sudut yang lain katanya, keberanian dan kecekapan Erdogan boleh kita pelajari.

"Rakyat Turki tidak akan menjadi pemberani tanpa pemimpin pemberani seperti Erdogan.

"Selepas tentera mengumumkan rampasan kuasa di TV, hanya berbekalkan I Phone - menggunakan Face Time, beliau menyampaikan pesannya kepada rakyat Turki yang segera disebarkan.

"Teknik yang mudah mengatasi sekatan siaran TV dan radio. Menewaskan kereta kebal dan kekuatan tentera!

"Rakyat dan pemimpin tidak akan dapat bersatu hati, kecuali di sana ada sentuhan dan ikatan yang telah lama terbina di atas asas kasih sayang antara mereka," katanya.

Beliau seterusnya mempersoalkan mereka yang mengambil sikap sinis kepada Erdogan.

"Siapalah kita untuk menghukum Erdogan?

"Ketika jet pejuang tentera berlegar mengawal ruang udara Istanbul, Erdogan sekali lagi membuktikan keberaniannya dengan menaiki pesawat menuju Istanbul dan mendarat di sana. Lalu muncul bersama rakyat jelata di Istanbul.

"Jika pemimpin itu merasakan dirinya banyak berdosa, beranikah mereka mempertaruhkan nyawanya di tangan jet pejuang tentera di ruang angkasa luas?" soalnya.

Husam melahirkan kesyukuran tidak terhingga dapat menyaksikan 'drama' ini, di abad moden yang sedang memetakan semula perjalanan politik dunia.

Tiada ulasan: