"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang kerani wanita JPJ dipenjara 4 tahun kerana menyamun lebih RM700,000 milik JPJuntuk bayar hutang along

Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang kerani wanita Unit Akaun dan Hasil di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju menangis apabila dihukum penjara empat tahun selepas mengaku bersalah menyamun lebih RM700,000 milik JPJ awal bulan ini.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh menjatuhkan hukuman ke atas Norzaisyima Ahmad Zaidin, 40, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap pada 11 Julai lalu.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, kesalahan Norzaisyima adalah serius kerana tertuduh merupakan pekerja dan orang yang diamanahkan di jabatan itu.

“Tindakan kamu diibaratkan seperti harapkan pagar, pagar makan padi. Tidakkah kamu memikirkan anak-anak kamu sebelum melakukan kesalahan itu? Sebagai manusia, kita seharusnya berfikir terlebih dahulu sebelum melakukan sesuatu.

“Kesempitan hidup dan berhutang dengan along bukanlah alasan untuk melakukan sesuatu kesalahan… tindakan kamu umpama nasi sudah menjadi bubur,” kata Zainal sambil menjelaskan mahkamah turut mengambil kira kepentingan awam sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh.

Ibu kepada tujuh anak itu bersama seorang lagi individu yang masih bebas didakwa menggunakan parang untuk merompak wang tunai berjumlah RM754,840.30 milik JPJ di Kaunter Unit Akaun dan Hasil, JPJ Wangsa Maju pada jam 5.30 petang 4 Julai lalu.

Tertuduh yang berselendang biru dan berbaju kurung merah jambu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Sariaty Zainal memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh yang dipercayai adalah perancang utama kes samun itu kerana kesalahan yang dilakukannya serius, selain memberi pengajaran kepada orang awam.

Sementara itu, penggali kubur berusia 40 tahun, Shamsuri Abd Karim dan penghantar surat, Mohamad Afif Hussin, 26, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama yang dibacakan terhadap mereka hari ini.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Peguam, Shalehhuddin Salam mewakili Shamsuri, manakala Norzaisyima dan Mohamad Afif tidak diwakili peguam.

Pada hari kejadian, dua lelaki bersenjatakan parang dan bertopi keledar masuk ke pejabat JPJ Wangsa Maju melalui pintu belakang yang tidak berkunci dan bertindak mengacukan parang ke arah seorang pegawai awam wanita sebelum merampas wang tunai di kaunter bilik Unit Akaun dan Hasil JPJ cawangan itu.

Tiada ulasan: