"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
JANGAN GUNA GOOGLECHROME JIKA ADA GANGGUAN MALWARE


IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


IKLAN TEKS

IKLAN TEKS Cuma RM10 Sahaja Hubungi: gigitankerengga@gmail.com

Import 1.5 juta pekerja Bangladesh: 'Zahid Hamidi usah tipu rakyat'

ARIF ATAN
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil mengingatkan kerajaan supaya tidak membohongi rakyat berhubung pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh secara berperingkat selama tiga tahun.

Menurutnya, usaha mengimpot pekerja asing dari negara Asia Selatan itu didakwa masih berterusan sehingga pada masa ini walaupun Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan antara Malaysia dan Bangladesh pada Februari tahun lalu telah diumum dibekukan pelaksanaannya setelah diprotes pelbagai pihak.

Kerajaan Malaysia juga, ujarnya, tidak menyanggah kenyataan pihak kerajaan Bangladesh yang dilapor akan menghantar pekerja terbabit seperti yang dimeterai walaupun Zahid mengumumkan pembekuan pengambilan pekerja negara itu pada Februari tahun lalu.

"Datuk Seri Zahid Hamidi diminta jangan tipu rakyat! Kerajaan perlu memastikan agar usaha mengimpot 1.5 Juta pekerja Bangladesh diberhentikan segera dan mulakan langkah merevolusikan sektor pekerjaan di Malaysia secara keseluruhannya.

"Kerajaan tidak harus mengutamakan kepentingan komersial beberapa syarikat atas kepentingan sosio-ekonomi yang lebih luas daripada rakyat Malaysia," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh itu hanya akan memberi manfaat kepada syarikat yang ketagih kepada buruh murah tetapi menghasilkan kesan luaran negatif kepada negara.

"Kesan tersebut termasuk mewujudkan tekanan ke atas gaji, mengubah demografi masyarakat dan menyesakkan golongan pekerja tempatan yang kurang mahir," katanya.

Sehubungan itu, Faiz menyarankan Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mengambil kira pilihan dasar alternatif termasuk usaha memaksimumkan penggunaan warga asing sedia ada di negara ini melalui cara mendaftarkan pekerja asing haram.

Hal ini termasuk, ujarnya, menghantar pulang mereka terbabit yang enggan mendaftar atau menggunakan pelarian sedia ada dari negara-negara seperti Myanmar dan Syria yang dianggarkan seramai 150,600 berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk ditawarkan pekerjaan.

"Cadangan ini adalah wajar untuk mengimbangi tuntutan pasaran dan kebanjiran warga asing di negara ini supaya kehadiran hampir lapan juta warga asing tidak berdaftar dapat dibendung dan peluang pekerjaan warga tempatan yang mempunyai kadar pengangguran yang agak tinggi iaitu 3.5 peratus dapat diatasi.

"Bagi merungkai kebimbangan ini, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu segera tampil dengan penjelasan sebenar dan tindakan jelas dalam isu pengambilan 1.5 juta pekerja Bangladesh sama ada diteruskan atau tidak oleh Kerajaan Malaysia.

"Jangan hanya membisu semata-mata menahan kemarahan rakyat menjelang pilihan raya umum," tegas Faiz lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Zahid pada awal tahun ini dilapor berkata, pihaknya menerusi Jabatan Imigresen memperoleh keizinan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mengeluarkan kad pekerja sementara kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang mempunyai majikan di negara ini.

Menurutnya, pengeluaran kad itu dibuat atas permintaan golongan majikan untuk mendaftarkan pekerja PATI mereka selain membantu kerajaan merekodkan jumlah sebenar pekerja asing di negara ini.

Naib Presiden Umno itu turut memaklumkan kerajaan sedang membangunkan Sistem Permohonan Pekerja Asing Bersepadu (SPPA) bagi memudahkan urusan permohonan pengambilan pekerja asing termasuk secara atas talian.

Tiada ulasan: