"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada siapa masuk PAS di Fastaqim 2.0

Radzi Razak, Bede Hong
TIADA sebarang kejutan pada Himpunan Fastaqim 2.0 yang digembar-gemburkan sebelum ini bakal jadi pentas penyertaan "dua atau tiga tokoh nasional" ke dalam PAS.

Yang muncul hanyalah dua bekas pegawai kanan perkhidmatan kerajaan yang sudah bersara yang kini jadi aktivis anti rasuah melalui Yayasan Anti Rasuah Malaysia.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zakaria Jaafar dan bekas Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Abdul Rahim Che Daud yang muncul di pentas Himpunan Fastaqim 2.0 bagaimanapun kemudian menjelaskan mereka hanya hadir memberikan sokongan, dan bukannya masuk PAS.

Zakaria yang ditemui wartawan selepas majlis itu menjelaskan beliau sebenarnya hanya hadir memberi sokongan kepada parti itu kerana komitmen menentang rasuah.

“Saya bukan jadi ahli PAS, saya cuma menyokong dan beri nasihat isu rasuah.

“Mungkin ada salah faham di sini. Saya terbuka untuk bercakap dengan sesiapa saja soal ini (rasuah),” kata Zakaria yang ditemui wartawan selepas selesai Himpunan Fastaqim 2.0 menjelang tengah malam tadi.

Zakaria pernah menerima tumpuan ramai pada akhir 2015 apabila mendedahkan pada hari persaraannya yang SPRM sedang menyiasat seorang "yang paling berkuasa" di Malaysia. Beliau merujuk kepada kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Kedudukan itu juga kemudiannya disahkan oleh Pengerusi Himpunan Fastaqim 2.0, Nasrudin Hasan pada sidang media selepas majlis tamat.

“Maksud saya mereka hadir bersama wadah perjuangan PAS ialah mereka memberi sokongan. Tidak semestinya menjadi ahli.

“(Bagaimanapun) kehadiran mereka memberi makna besar kepada kita,” katanya kepada wartawan yang menyerbu meminta penjelasan mengenai kedudukan dua bekas pegawai kanan kerajaan itu.

Sebelum itu, bekas Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim turut menjelaskan beliau tidak menyertai PAS.

“Saya bekerja untuk tolong orang miskin sekarang, jadi saya tidak akan menyokong mana-mana parti,” kata beliau ketika muncul sebentar untuk berucap kira-kira pukul 8:15 malam. Khalid kemudian bergegas meninggalkan majlis untuk satu urusan di luar negara.

Nasrudin sebelum ini mengumumkan satu kejutan bakal dilihat malam ini dengan kemasukan "dua atau tiga tokoh nasional" ke dalam parti Islam itu.

Sementara itu, Himpunan Fastaqim 2.0 mengesahkan pembentukan blok ketiga politik Malaysia, Gagasan Sejahtera yang dipimpin oleh PAS. Pakatan baru itu disertai oleh Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Berjasa dan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Presiden Ikatan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir dalam ucapannya berkata perhimpunan di Terengganu ini menunjukkan kepada semua pihak, PAS bukan sebuah parti yang bukan siapa-siapa.

"DAP pernah kata PAS ini bukan siapa-siapa. Tetapi kalau diambil ahli-ahli DAP dan diganda empat, itupun belum setengah daripada kekuatan PAS," katanya.

Tambah Kadir, parti-parti yang bekerjasama dengan PAS sebelum ini mengawal PAS dengan mengatakan ia tidak boleh buat itu dan ini kerana kononnya melanggar hak asasi dan sebagainya.

Sementara itu Timbalan Presiden Berjasa, Hashim Abdul Karim berkata pengkritik PAS kini tidak lagi boleh memperlekehkan parti Islam itu selepas perhimpunan malam tadi.

"Orang selalu ketawa apabila kita sebut kuasa ketiga. Kita serahkan kepada Allah. Malam ini, Insya-Allah, kitalah kuasa ketiga itu.

"Kami akan turun padang untuk membantu PAS setakat yang terdaya."

Tiada ulasan: