"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS langgar syariah beli tanah Wisma Tok Guru - Husam

FMT Reporters
PETALING JAYA: Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa mendakwa PAS melanggar undang-undang syariah ketika membeli tanah menempatkan Wisma Tok Guru di Salor, Kelantan yang kini menjadi rebutan kedua-dua parti itu.

Adun Salor itu berkata, selepas pemiliknya, Datuk Rosli Ibrahim meninggal dunia, PAS membeli tanah itu dengan menawarkan RM700,000 kepada isteri arwah yang masih dalam tempoh edah.

“PAS bawa ADO (penolong pegawai daerah) dari pejabat Kota Bharu pergi ke rumah untuk ‘sign’ borang 14A, walaupun melanggar perintah pekeliling PTG (Pejabat Tanah dan Galian) Bil 5 yang menyatakan pegawai pejabat tanah tidak boleh pergi ke rumah orang tukar nama orang (pemilik) atau tukar nama tanah.

“Tetapi PAS sanggup buat macam tu dan beli tanah itu,” katanya dalam blognya hari ini.

Rosli meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II Kota Bharu pada 27 Julai lalu, dipercayai akibat komplikasi paru-paru. Beliau memenangi kerusi DUN Salor atas tiket Semangat 46 pada 1990.

Husam berkata, waris tanah pusaka itu belum ditentukan kerana perbicaraan hanya akan diadakan di Mahkamah Syariah pada 9 Januari 2018.

“Datuk Rosli dan isterinya tidak ada anak (oleh itu) adik-beradiknya layak menerima pusaka.”

Katanya, beliau sudah memfailkan injunksi di mahkamah sivil Ahad lalu bagi menghalang Setiausaha Kerja PAS Kelantan, Mohamad Yasin Yusof dan PAS mengganggu pejabatnya di Wisma Tok Guru.

Wisma Tok Guru menempatkan pejabat Amanah Kelantan dan adun Salor daripada parti serpihan PAS itu. Bangunan itu menjadi rebutan apabila Yasin dikatakan membeli tanah bangunan itu daripada waris pemiliknya, Datuk Rosli Ibrahim.

Bagaimanapun, Husam dilaporkan berkata, Rosli menerusi satu surat menyerahkan tapak bangunan itu untuk kegunaan beliau sampai bila-bila.

Mengulas lanjut, Husam menolak dakwaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob kononnya beliau membeli tanah itu mengikut undang-undang syariah.

“Saya tak tahu dia belajar syariah di mana. Harta yang dalam tuntutan pusaka, sesiapa pun tak boleh jual begitu sahaja. Bila ada pertikaian pusaka, belum selesai dari segi syariatnya.

“Hak orang lain atas tanah yang dimiliki orang lain itu ada dari segi undang-undang. Hak tanah mungkin sudah tidak ada, tetapi hak bangunan ada.

“Saya berhak ke atas bangunan itu. Takkan PAS tidak faham syariah. PAS ni dari segi syariah, dia buat syariah dia sendiri. Dia bukan ikut syariah Islam kita,” tulisnya.

Pada 22 Oktober lalu, kekecohan tercetus apabila sekumpulan penyokong Pemuda PAS memasang bendera di Wisma Tok Guru, tetapi dihalang Pemuda Pakatan Harapan yang menyifatkannya “provokasi”.

Amanah mendakwa pihaknya yakin dapat mempertahankan wisma itu daripada dirampas PAS kerana mendakwa mereka mempunyai kebenaran bertulis daripada pemilik asal tanah berkenaan.

PAS pula memberi tempoh sebulan sehingga 16 November ini kepada Amanah untuk mengosongkan bangunan itu.

Tiada ulasan: