"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing guna nama Melayu untuk miliki harta - Mahathir

AKMAL HAZIQ
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mahathir Mohamad mendakwa, di bawah dasar ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak, orang asing kini mudah untuk membeli tanah di Malaysia.

“Sekarang datang satu cara baru. Orang asing nak beli tanah di Malaysia. Pinjamkan nama orang Melayu sebagai Presiden, CEO, Pengurus untuk tubuh syarikat Bumi Sdn. Bhd. Beli tanah. Harga tak penting. Beli, beli, beli.

“Yang mudah sekali tanah orang Melayu. Tak mahu jual, naik harga. Naik harga, naik harga sehingga jual. Tanah milik bukan Melayu pun boleh beli jika kena harga,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam tulisan beliau yang terbaru dalam blognya Chedet.

Pemilik syarikat ini katanya kemudian akan menghadiahkan berjuta ringgit kepada tuan punya nama pinjaman untuk syarikat yang didaftar sebagai syarikat tempatan milik bumi tersebut.

“Orang asing yang pinjam nama orang bumi amat kaya. Mereka memiliki berbillion ringgit. Banyaklah tanah akan dimiliki oleh mereka melalui proksi Melayu.

“Kemudian apabila dihitung, Melayu tak ada tanah lagi. Warga Malaysia lain pun sudah tidak ada tanah lagi. Bersama dengan TRX, Sg Besi, Melaka, Kuantan, Johor, Langkawi, Kedah, tanah yang berharga sudah tidak lagi milik rakyat. Ia sudah jadi sebahagian daripada negara lain,” kata beliau.

“Tetapi okay. Melayu dan lain-lain warga negara sudah kaya. Sekurang-kurangnya sebahagian daripada hutang 1 billion sudah dibayar. Bandar-bandar moden, canggih dan mewah terdiri di seluruh negara. Dan orang Malaysia, terutama orang Melayu dapat melihat dengan bangganya betapa Malaysia sudah jadi negara maju, penuh dengan bangunan pencakar langit. Mereka sendiri tinggal dalam pondok papan berbumbung zink di kawasan setinggan,” sindir beliau.

Menurut Tun Mahathir, kekayaan hasil daripada pinjaman nama tidak kekal dan orang Melayu akhirnya akan kembali ke pinggir hutan, jauh dari bangunan pencakar langit yang memenuhi tanah Melayu dahulu.

“Ingat, kita jual Singapura. Masih kita punyakah? Tanah di Malaysia yang kita jual kepada orang asing, masih kita punyakah? Bukan sahaja sudah bukan kita punya, undang-undang negara kita, duit negara kita juga tidak diguna. Masih kita punya kah?” soal beliau.

Tiada ulasan: