"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasib PAS di bumi Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 1951, PAS berjaya menawan satu-satunya kerusi pembangkang dalam pilihan raya tahun 1955 sebelum Malaya mencapai kemerdekaannya. Pilihan raya umum (PRU) pertama selepas kemerdekaan yang diadakan pada tahun 1959 menyaksikan PAS menawan kerajaan negeri Kelantan dengan 28 kerusi DUN (daripada jumlah 30 DUN), dan kerajaan negeri Terengganu dengan 13 kerusi DUN (daripada jumlah 24 DUN).
Dua tahun kemudian, kerajaan PAS di negeri Terengganu dijatuhkan dengan lompatan ADUN PAS dan Parti Negara ke kem Perikatan. Kemudian pada tahun 1964, PRU sulung selepas Malaysia dibentuk, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Burhanuddin Al-Helmy (bawah) hilang kelayakan untuk bertanding kerana disabitkan kesalahan dalam satu kes mahkamah. Pada tahun 1965, Dr Burhanuddin ditahan bawah ISA atas tuduhan “menggulingkan kerajaan”. Beliau dibebaskan setahun kemudian, tetapi merana keuzuran meninggal pada tahun 1969.

PAS menyertai BN selepas tragedi 13 Mei pada tahun 1969, dan kemudian memenangi kesemua 22 kerusi DUN yang dipertandingkan di Kelantan pada tahun 1974. Bagaimanapun, PAS berselisih dengan Umno dalam isu calon menteri besar, dan berakhir dengan “undi tidak percaya” dan pengumuman darurat. Untuk memendekkan cerita, PAS hanya mampu mempertahankan dua kerusi DUN dengan majoriti kurang daripada 100 undi dalam pilihan raya kilat yang diadakan. Kerajaan negeri Kelantan dirampas dari tangan PAS, dan hanya berjaya dikembalikan selepas 12 tahun.



Memasuki zaman 1980-an, PAS terpengaruh dengan gelombang Revolusi Iran. Konsep “kepimpinan ulama” diseludup, malah retorik dan aksi politik PAS semakin radikal sepanjang dekad itu – dengan Amanat Hadi, peristiwa berdarah Memali dan sebagainya. Ironinya, sementara semangat PAS berkobar-kobar pada tahap kemuncaknya, prestasi PAS dalam PRU tahun 1986 pula menjunam di sebaliknya, sehingga satu kerusi parlimen sahaja dimenanginya, iaitu Pengkalan Chepa, daripada 98 yang dipertandingkan.
Umno berdepan dengan PRU sepanjang tahun 1990-an dalam keadaan berpecah. Puak yang tersingkir menubuhkan parti baru dan menentang Umno dari luar bersama pembangkang sedia ada. Dalam PRU8 pada tahun 1990, PAS berjaya mengembalikan kerajaan negeri Kelantan; sementara dalam PRU10 pada tahun 1999, PAS dilambung gelombang Reformasi untuk merangkul 27 kerusi parlimen, dan menawan semula kerajaan negeri Terengganu. Bagaimanapun, lima tahun kemudian, PAS hilang 20 kerusi parlimen, juga kerajaan negeri di Terengganu yang diterajui Tuan Guru Haji Hadi Awang.


Setelah iktibar diambil daripada kekalahan teruk dalam PRU11 tahun 2004, PAS masuk gelanggang untuk berdepan dengan PRU12 pada tahun 2008. Anwar Ibrahim menjalinkan hubungan kerjasama antara PAS dengan DAP sekali lagi. Ia berbeza kali ini, berbanding jalinan kerjasama pada tahun 1990 yang Semangat 46 membentuk dua gandingan berbeza, dengan PAS dan DAP. Ia berbeza juga jika dibandingkan dengan Barisan Alternatif pada tahun 1999 kerana Pakatan Rakyat yang dibentuk selepas PRU12 tahun 2008, berkongsi wadah kerajaan negeri.
Harus diingatkan, PAS bukan lagi bekerjasama dengan parti politik bukan Islam semata-mata untuk bertanding dalam pilihan raya, tetapi juga berkongsi kuasa. Di Kedah, PAS mendominasi kerajaan negeri kerana bilangan ADUN parti itu majoriti; Di Selangor, kedudukannya lebih seimbang dalam kerajaan negeri, antara PKR-DAP-PAS; Di Perak, PAS yang mempunyai bilangan ADUN minoriti diamanahkan jawatan menteri mesar untuk mengetuai kerajaan negeri. Sudah tentu senario yang berbeza ini menguji bagaimana PAS memposisikan dirinya dalam hubungan ini, untuk menyerlahkan pengaruhnya.




Proses kematangan

Sejarah ini ditelusuri untuk memperlihatkan proses kematangan PAS. Sebagai parti pembangkang, PAS berdepan dengan tekanan daripada kerajaan persekutuan, namun tetap bertahan di atas gelanggang pilihan raya dalam sistem demokrasi, sungguhpun gelanggang ini tidak sama rata. PAS pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan (BN), sungguhpun berakhir dengan pengalaman dikhianati Umno-BN.
PAS pernah menubuhkan Majlis Perunding Cina (CCC) pada tahun 1986, sebagai cubaan untuk mendampingi masyarakat Cina. Setelah usahanya gagal, PAS menjalin hubungan kerjasama secara tidak langsung dan kemudiannya secara langsung dengan parti bukan Islam, iaitu DAP. Di samping tekanan daripada kerajaan persekutuan, PAS juga perlu berdepan dengan suara rakyat dan keperluan pengundi.
Sesungguhnya, PAS sebagai parti politik yang meluncur di landasan gelanggang pilihan raya, memiliki pengalaman yang pelbagai. Lebih-lebih lagi, PAS berpijak di atas bumi Malaysia, sebuah masyarakat yang berbilang etnik, agama, bahasa, budaya dan sebagainya. Sejarahnya dicorakkan dengan pelbagai pengalaman – sebagai pembangkang yang pernah menyertai kerajaan persekutuan, kerajaan negerinya dijatuhkan dengan rampasan kuasa, membentuk gandingan dengan parti bukan Islam, berkongsi kuasa dengan bukan Islam, pernah dikhianati, tidak terelak juga dibadai suara pengundi – kesemua ini memadai untuk dijadikan rujukan parti-parti politik lain di dunia Islam.


Malah, seandainya PAS mampu mentadbir, memimpin dan menyatukan sesebuah masyarakat majmuk dengan nilai sejagat, mempertingkatkan kecekapan, kepakaran dan keberkesanan urus tadbirnya, tidak mustahil PAS menjadi teladan yang dicontohi parti politik Islam di serata dunia. Ini kerana untuk seketika dahulu selepas tercetusnya “Arab Spring”, dunia Islam menemui kebuntuan kerana tercari-cari formula terbaik untuk mengurus-tadbir negara. Diktator korup digulingkan, tetapi negara Timur Tengah belum menemui sistem politik yang paling sesuai untuk masyarakatnya. Bukankah PAS yang sudah berlegar-legar di litar sistem demokrasi sejak lebih setengah abad dahulu, boleh menawarkan diri sebagai teladan dalam dunia Islam?
PAS hampir melakukannya dengan keputusan PRU13 pada tahun 2013. PAS masih meraih sokongan tradisionalnya di Kelantan dan Terengganu; meluaskan pengaruhnya ke Selangor, Perak dan Pahang; PAS berjaya memenangi satu kerusi DUN di Melaka, yang selama ini gagal ditembusinya atas logo PAS; malah prestasinya di Johor memperlihatkan peningkatan. Sungguhpun PAS bukan parti yang paling terserlah prestasi PRU13-nya dalam Pakatan Rakyat, namun ia bukan juga kekalahan paling teruk dalam sejarah PAS.
Malangnya, pimpinan TGHH terlepas pandang realiti ini, sebaliknya terkongkong dalam kerangka retorik lapuk seperti “perpaduan Melayu dan umat Islam”. Proses transformasi dalaman PAS terbantut, dan kini PAS semakin sempit dan hilang ciri-ciri kemajmukan sebagaimana dahulunya. PAS sebelum perpecahan tahun 2015 boleh menjuarai isu yang lebih pelbagai, dari agama, budaya hinggalah ekonomi. PAS selepas perpecahan bukan lagi “PAS Untuk Semua”, dan ia gagal menggarap imaginasi seluruh rakyat Malaysia.
PAS kini bermegah dengan percaturan strateginya, yang enggan terikat kepada mana-mana barisan mahupun pakatan. Perhitungannya mudah, dengan menjadikan dirinya sebagai “kuasa ketiga yang berkecuali”, PAS boleh mengambil kesempatan untuk menambah nilai dirinya jikalau BN dan HARAPAN masing-masing memerlukan rakan sekutu untuk membentuk kerajaan. Di sini PAS boleh mengenakan syaratnya, sama ada tuntutan jawatan kerajaan untuk pemimpinnya, ataupun pelaksanaan agenda untuk partinya.




'PAS untuk Semua' berkecai

Percaturan strategi yang “bijak” dari satu seginya, tetapi dibayar dengan harga yang tinggi. Imej “PAS untuk Semua” yang ditampilkan berkecai dari kaca mata masyarakat bukan Islam sejak perpecahan Pakatan Rakyat. Seketika dahulu PAS masih dikagumi sungguhpun masyarakat bukan Islam berbeza pandangan dengannya dalam bab hudud. Tetapi dengan pendekatannya yang dilihat seolah-olah untuk melanjutkan hayat politik Najib Razak selepas terbongkarnya skandal 1MDB, PAS telah hilang kredibilitinya.


Saf pimpinan PAS semestinya terbaca sentimen sedemikian, lantas retorik dan hujahnya semakin cenderung ke arah “Melayu” dan “Islam” dengan tafsiran yang sempit, dan konservatif, khususnya dari kaca mata bukan Islam. Risikonya pengaruh PAS menyusut, kembali semula ke Pantai Timur. Jikalau senario terburuk berlaku, tidak mustahil PAS hilang negeri Kelantan, lantaran ketidakcekapan urus-tadbir kerajaannya.
Apa lagi yang ada dengan PAS, jikalau berakhir dengan kesudahan sedemikian? Apakah ia masih bernilai di mata Umno, jikalau Umno mampu bertahan dengan kekuatannya sendiri? Pemimpin datang dan pergi, TGHH juga tetap akan berundur satu hari nanti. Cuma, apakah nasib parti pembangkang yang paling bersejarah, tertinggi keanggotaannya, paling berorganisasi akar umbinya, paling lengkap jenteranya di bumi Malaysia selepas ini?

LIM HONG SIANG ialah bekas editor Merdeka Review, edisi bahasa Melayu dan penyunting buku Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?
-malaysiakini 

Tiada ulasan: