"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ku Li mempunyai percaturan tersendiri

Zin Mahmud 
Sabtu lalu, tersiar gambar Tengku Razaleigh Hamzah duduk semeja dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis perkahwinan berhampiran Tasik Titiwangsa.

Ia hanyalah majlis sosial dan seperti kata Tengku Razaleigh atau Ku Li, beliau ada kalanya terjumpa juga dengan Dr Mahathir dalam pelbagai acara dari masa ke masa.

Kehadiran Dr Mahathir, Ku Li dan Muhyiddin sebagai memenuhi jemputan Zahid Mat Arip, juga seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang mengadakan majlis perkahwinan untuk anaknya.

Dr Mahathir ialah pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan (PH), Muhyiddin pula presiden PPBM dan timbalan presiden PH.

Zahid adalah watak politik yang menarik bukan saja di pihak Barisan Nasional (BN) tetapi pembangkang. Beliau pernah menjadi pegawai khas bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad.

Pertama kali saya berjumpa Zahid adalah pada 2000-an. Seorang aktivis PAS memperkenalkan Zahid sebagai “cucu (Tun) Ghafar Baba”.

Ketika itu beliau aktif menyokong gerakan Reformasi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali kedua saya bertemu beliau adalah pada 2010-an di pejabat Utusan Melayu.

Pada masa itu beliau mempunyai NGO sendiri bernama Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI). Jawatan beliau dalam TIBAI ialah “Mursyidul Am” seolah-olah ia perli PAS.

Beliau kemudian membubarkan TIBAI dan menjadi ahli Perkasa sebelum menyertai PPBM. Ternyata Zahid mempunyai hubungan dengan pelbagai bekas pemimpin Umno termasuk Ku Li.

Tetapi Ku Li pada Sabtu lalu turut mempunyai satu acara rasmi yang tidak kurang penting iaitu merasmikan sebuah forum anjuran G25 bertajuk “Program Pembaharuan bagi Malaysia yang Progresif”. Beliau menyampaikan ucaptama yang kandungannya mengkritik kerajaan khususnya mengenai hutang negara dan ekonomi.

Umumnya, pandangan beliau adalah juga mencerminkan sebahagian apa yang diperjuangkan oleh G25, sebuah kumpulan yang terdiri daripada bekas tokoh penjawat awam terkenal dan berpengaruh dalam sekitar tahun 1980-an. Pandangan mereka adalah mahukan negara progresif yang melaksanakan nilai-nilai demokrasi termasuk sekularisme iaitu dalam konteks perlembagaan Malaysia.

Pada 1980-an, umumnya mereka berkhidmat di bawah pentadbiran perdana menteri ketika itu, seperti mana juga Ku Li yang pernah menganggotai kabinet Dr Mahathir. Mereka kelihatan mendokong sosok asas negara seperti yang dibentuk oleh perdana menteri pertama Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra.

Maknanya, fahaman mereka adalah apa yang dipegang oleh Umno pada peringkat awal iaitu semasa Datuk Onn Jaafar, Tunku, Tun Razak Hussein dan Tun Hussein Onn.

Dalam hal ini, pada sudut tertentu pandangan mereka adalah berlainan daripada Dr Mahathir dan Anwar yang membawa dimensi nilai Islam dalam pentadbiran negara. Maka kalau dilihat dari sudut fahaman, G25 adalah lebih hampir kepada fahaman Ku Li ketika beliau menentang Dr Mahathir, baik semasa dalam Umno mahupun selepas menubuhkan Semangat 46.

Tetapi fahaman Dr Mahathir mengenai Islam adalah progresif dengan caranya sendiri. Sementara fahaman progresif Islam Anwar ketika menerajui PKR adalah berbeza berbanding semasa beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan ketika menjadi timbalan presiden Umno.

Ku Li pernah mengetuai barisan pembangkang Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat yag menggabungkan 9 parti politik.

Kini Ku Li adalah seorang ahli politik veteran Umno yang masih menjadi wakil rakyat BN bagi Gua Musang.


Apabila ditanya mengenai Dr Mahathir beliau berkata: “Can a leopard change his spots? Maybe he can. We dont know.” (Bolehkah harimau bintang menukar tompoknya? Mungkin ya. Kita tidak tahu).

Maksud beliau, sukar bagi Dr Mahathir hendak berubah iaitu daripada cara beliau mentadbir selama 22 tahun dahulu. Tetapi mungkin juga beliau boleh berubah. Tidak ada sesiapa yang tahu.

Ku Li dan Dr Mahathir berada dalam kabinet Tun Hussein; Dr Mahathir sebagai timbalan perdana menteri dan Ku Li sebagai menteri kewangan. Beliau juga kemudiannya berada dalam kabinet Dr Mahathir.

Walaupun Ku Li mencabar Dr Mahathir bagi jawatan presiden Umno dan selanjutnya menjadi pemimpin utama pembangkang dalam pilihan raya umum 1990, tetapi beliau kembali berbaik dengan Dr Mahathir.

Beliau membubarkan Semangat 46 seperti yang dikehendaki Dr Mahathir dan membawa penyokongnya menyertai Umno Baru membolehkan parti itu menggugurkan perkataan “baru”.

Menurut Ku Li, ada yang kata kemungkinan akan berlaku “hung parliament” (parlimen tergantung) yang mana kedua-dua pihak, BN dan PH memenangi bilangan kerusi yang sama banyak dan tidak ada sesiapa dapat membentuk kerajaan.

Beliau juga menyebut bahawa banyak halangan bagi Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri semula. Mana-mana parti yang mempunyai cukup ahli parlimen untuk menyokongnya mengetuai kerajaan akan dipanggil untuk menjadi perdana menteri.
Itupun akan ditentukan juga oleh Yang di-Pertuan Agong. Iaitu kesesuaian seorang calon perdana menteri yang memperoleh keyakinan majoriti ahli Parlimen.

Maknanya, walaupun sudah dipersetujui oleh PH bahawa Dr Mahathir akan dipilih sebagai perdana menteri sekiranya gabungan itu menang, tetapi perkiraan akhir akan juga bergantung pada parti mana yang meraih paling banyak kerusi, sama ada PPBM atau PKR.

Faktor besar yang menjadi penghalang Dr Mahathir ialah juga usianya yang akan mencapai 93 tahun.

Ku Li yang berusia 81 tahun masih berpengaruh di Kelantan. Umno negeri itu adalah juga dianggotai oleh penyokongnya yang pernah bersamanya dalam Semangat 46.

Baru-baru ini dikesan bahawa pendirian Umno Kelantan adalah berbeza dengan Umno Pusat berhubung dengan PAS.

Ketika mana PAS kelihatan mesra dengan Umno pusat, banyak kalangan Umno Kelantan berasa bahawa pilihan raya akan datang ini adalah peluang besar bagi mereka mengalahkan PAS. Ini kerana PAS sudah berpecah dengan munculnya Amanah.

Ku Li berperanan besar memecahkan undi BN bagi memberi kemenangan pada PAS pada 1990 melalui Angkatan Perpaduan Ummah. Sementara pada 1978, Ku Li berperanan membawa kemenangan pada Umno di atas perpecahan PAS yang melahirkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).

Sementara itu G25 pula mengharapkan PH akan membawa agenda progresif kerana pada masa ini, mereka berasakan kerajaan membawa nilai konservatif agama hinggakan buku mereka juga diharamkan.

G25 ditubuhkan pada 2015 sebagai reaksi kepada peningkatan konservatisme agama di negara ini apabila PAS berusaha mengetengahkan hukum hudud. Usaha PAS itu telah membawa kepada perbalahannya dengan DAP, merungkaikan Pakatan Rakyat dan akhirnya ia sendiri berpecah dan melahirkan Amanah.

Tetapi sebelum adanya G25 dan Amanah, Ku Li pada 2011 ada menubuhkan sebuah NGO bernama Angkatan Amanah Merdeka yang singkatannya juga Amanah. Penubuhannya diisytiharkan di Memorial Tunku Abdul Rahman dengan pemahamannya adalah untuk mendokong idealisme Tunku terhadap Malaysia.

Cakap-cakap politik pada masa itu ialah NGO Amanah adalah persediaan Ku Li memimpin Pakatan Rakyat apabila Anwar tidak dapat bertanding dalam pilihan raya umum ke-13. Dilaporkan bahawa ada pihak dalam PAS yang menyokong cadangan itu.

Antara anggota NGO Amanah ini ialah bekas menteri, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Ada pihak yang menyeru supaya Ku Li menjadikan NGO itu sebagai parti politik.

Ironinya setahun kemudian, Kadir menubuhkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia dengan lambang Tunku mengisytiharkan kemerdekaan. Parti ini kelihatan juga memperjuangkan idealisme Tunku, iaitu tidak berbeza dengan NGO Amanah.

Ikatan dapat didaftarkan pada 2015, ketika itu Pakatan Rakyat sudah berpecah. Ironinya, Ikatan tidak menyertai PH. Sebaliknya ia menyertai Gagasan Sejahtera pimpinan PAS. Pegangan politik PAS dan Ikatan adalah berbeza khususnya dari segi fahaman konservatisme agama.

Tetapi PAS sudah menyatakan bahawa ia akan menjadi “kingmaker” (penentu siapa berkuasa) jika berlaku parlimen tergantung.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Utusan Malaysia.

Tiada ulasan: