"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah sedia buka pintu terima Adun PAS Selangor

Zulkifli Sulong
AMANAH sedia terima Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) dari PAS untuk menyertai parti itu, kata Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub.

"Sejak hari pertama penubuhan Amanah lagi, kami sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin menyertai kami bukan Adun PAS Selangor saja tetapi seluruh negara," kata Salahuddin.

Beliau mengulas laporan media bahawa lima Adun PAS di Selangor sedia untuk menyertai Amanah sebaik sahaja Parlimen dan DUN dibubarkan.

The Star Online dalam laporannya menyebut, PAS mungkin kehilangan lima Adunnya di Selangor sebaik sahaja Parlimen diisytiharkan bubar oleh perdana menteri.

"Mereka hanya menunggu saat itu untuk keluar dari PAS dan menyertai Amanah," lapor The Star berdasarkan sumber rapat PAS.

PAS mempunyai 13 Adun di Selangor selepas dua daripadanya menyertai Amanah.

Ini kerana, para Adun ini yakin mereka akan kalah jika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket PAS.

Menurut Salahuddin, partinya sedia berunding dengan Adun PAS berkenaan untuk menyertai Amanah.

"Kita sentiasa buka pintu perundingan dengan sesiapa saja termasuk syarat-syarat tawarannya," kata beliau kepada The Malaysian Insight.

Difahamkan, Biro Politik Amanah telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara ini dan telah menyiapkan tawaran dan syarat kepada para Adun PAS ini.

"Setiap Adun dan kawasan mempunyai suasana yang berbeza. Setengah Adun PAS kita boleh tawarkan menjadi calon di kawasan itu juga manakala yang lain ada kedudukannya yang berbeza," kata sumber itu.

Sebelum ini, Adun PAS mendakwa Amanah tidak sedia membuka pintu kepada mereka untuk menyertai parti itu menjelang pilihan raya.

Ini berdasarkan tindak balas negatif di peringkat akar umbi Amanah terhadap berita angin kononnya mereka akan menyertai Amanah.

"Bila saya hantar mesej akan menyertai Amanah dan akan menjadi calon di kawsasan saya, orang Amanah terus menyebarkan nama calon mereka di kawasan ini," kata seorang Adun PAS kepada The Malaysian Insight sebelum ini.

Sebilangan besar Adun PAS di Selangor tidak senang dengan hala tuju parti itu di peringkat pusat dalam menghadapi PRU14.

Bagi mereka, tanpa sokongan pengundi bukan Melayu khasnya Cina, ramai Adun PAS yang ada sekarang tidak akan menang dalam pilihan raya lalu.

Kajian yang dibuat oleh Institut Darul Ehsan (IDE) di Selangor, PAS kehilangan sokongan pengundi Cina selepas meninggalkan kerjasama dengan pembangkang yang lain.

Sementara itu, penganalisis politik Hisomuddin Bakar setuju ramai Adun PAS dalam dilema sekarang.

"Namun berapa orang yang berani meninggalkan PAS dan menyertai Amanah itu satu persoalan yang sukar.

"Bagi saya, buat masa sekarang, mereka tidak ada keberanian untuk meninggalkan PAS," katanya.

Tiada ulasan: