"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shah Alam bakal saksikan pertarungan 2 Khalid, atau 2 MB?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kemungkinan bertanding sebagai calon PAS di Shah Alam pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), menurut sumber.

Ia susulan kenyataan Khalid baru-baru ini yang beliau akan berkempen untuk PAS, yang pernah menyokongnya ketika krisis politik 2014 negeri tersebut apabila PKR cuba melucutkan jawatannya sebagai menteri besar.

Kerusi Shah Alam itu dimenangi oleh Khalid Samad untuk PAS pada 2008 dan 2013, dengan majoriti selesa. Khalid Samad kemudian menyertai parti serpihan PAS, Amanah, susulan pemilihan muktamar PAS tahun 2015 yang menyaksikan parti itu berpecah.

Dua pertiga pengundi kerusi itu adalah Melayu, manakala jumlah pengundi Cina dan India hampir sama.

Selepas dilucutkan jawatan MB dalam apa yang dinamakan “Langkah Kajang”, Khalid Ibrahim yang juga ahli Parlimen Bandar Tun Razak memilih untuk menjadi Adun bebas di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Ditanya mengenai kemungkinan bekas menteri besar itu bertanding menentang beliau, Khalid Samad berkata beliau tidak terkejut.

“Itu tekaan saya. Pembangkang menggambarkannya dengan baik semasa beliau memegang jawatan menteri besar Selangor dan saya rasa Shah Alam akan menjadi kerusi sasaran.

“Jika beliau bersetuju bertanding bawah PAS, Khalid Ibrahim sememangnya akan ditawarkan kerusi,” katanya.

Tetapi ia mungkin tidak akan menjadi pertarungan antara 2 Khalid.

Ini kerana terdapat juga spekulasi mengatakan musuh ketat Khalid Ibrahim ketika di PKR dulu, Mohamed Azmin Ali, yang menggantikannya sebagai menteri besar, akan berpindah ke Shah Alam dari Gombak.

Kedua-duanya pernah bergelut dalam pertarungan untuk jawatan timbalan presiden PKR pada 2014, yang berakhir dengan kemenangan Azmin.

Tiada ulasan: