Patriot kesal campur tangan politik dalam pencerobohan Lahad Datu
SITI NUR ZAWANI MISCON
Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mendakwa wujudnya campur tangan politik dalam peristiwa pencerobohan Lahad Datu pada tahun 2013.
Presidennya , Datuk Mohamed Arshad Raji memberitahu, ketika itu adanya campur tangan menteri yang bersikap seperti jeneral pada waktu pencerobohan itu berlaku.
“Anggota kabinet utama pada masa itu mempunyai banyak jawapan.
“Mereka adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan bekas Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman,” katanya lagi.
Dakwanya, serangan dilakukan oleh kerana penceroboh berang dan kecewa tidak diberikan tanah seperti yang dijanjikan oleh kerajaan Malaysia yang ketika itu ditadbir Barisan Nasional (BN)
“Jeneral dan komander darat yang sebenar tidak harus dikekang dengan campur tangan politik. Arahan yang diberi sepatutnya adalah ‘tembak sehingga mati’, bukannya melakukan rundingan dengan penceroboh asing seperti yang telah kami sebutkan dalam penyataan kami sebelum ini.
“Namun, ada dakwaan terbaru yang mengejutkan di mana sebenarnya tanah telah dijanjikan kepada para penceroboh bersenjata dan mereka datang untuk menuntut tanah tersebut.
“Selain itu, kejadian itu berlaku didakwa kerana puak-puak Moro tidak berpuas hati dengan perjanjian damai; dan janji yang tidak dipenuhi dalam rundingan damai Moro di Kuala Lumpur dan perjanjian damai Moro di Manila pada Oktober 2012, di mana negara kita memainkan peranan ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu beliau berkata, menerusi laporan Reuter sekitar tempoh peristiwa tersebut berlaku, apa yang dilaporkan di Filipina adalah tidak selari dengan apa yang dilaporkan di Malaysia.
Katanya, sekiranya benar dakwaan bahawa tanah Sabah sebenarnya telah dijanjikan kepada penceroboh asing, itu adalah satu perkara yang amat mengejutkan.
Mohamed Arshad menambah, isu pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah berlarutan selama beberapa dekad dan peristiwa Lahad Datu yang berkaitan dengan isu PATI, tidak seharusnya terjadi sekiranya ada kemahuan politik untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan