"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Paku terakhir buat keranda …?

AHMAD LUTFI OTHMAN

Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (termasuk ahli-ahli Parlimen Warisan dan kumpulan Mahathir Mohamad) sentiasa mempunyai kekuatan moral dan hak untuk merebut balik Putrajaya sebelum PRU15, sebagaimana mandat rakyat pada Mei 2018.

Kerajaan PH yang ditumbangkan melalui aksi pengkhianatan Langkah Sheraton itu wajar ditegakkan semula tanpa perlu menunggu PRU15.

Namun begitu, mengangkat semula mandat rakyat tanpa melalui pilihan raya sebenarnya adalah permainan kuasa elit politik semata-mata, tiada kena mengena lagi dengan rakyat. Pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka dengan berani, sebahagiannya berkorban wang ringgit dan masa berharga, termasuk terbang jauh dari luar negara untuk memilih kerajaan baharu.

Elit politik sibuk mengatur strategi, tawar-menawar, mengubah sifir politik seolah-olah undi rakyat itu komoditi yang boleh diperdagang. Wabak maut tidak menghalang mereka berpencak silat mencuri kesempatan. Hujung Februari itu koronavirus sedang mengamuk tetapi politikus licik lebih cepat menghidu peluang yang terbuka. Segalanya seolah-olah tidak boleh ditunda lagi.

Secara peribadi, saya tidak berminat, malah menyimpan amarah yang dalam terhadap permainan kuasa elit politik ini. Ia pasti sarat dengan elemen tawar-menawar, kepentingan diri-kabilah, juga amalan korupsi yang bercanggah sama sekali dengan agenda reformasi.

Bagaimanapun, kita sebenarnya tiada banyak pilihan; memilih yang buruk dengan menyisihkan yang terburuk. Kuasa yang dicuri itu harus direbut kembali. Misi pembaharuan dalam pentsdbiran yang tertunda itu mesti disambung, dengan pelaksanaan lebih tersusun.

Di atas segalanya, kepercayaan rakyat kepada sistem dan proses demokrasi yang terjejas teruk kerana Langkah Sheraton itu mesti dikembalikan segera. Khususnya orang muda, majoriti sudah muak-jelak dengan permainan elit politik ini. Ia dilihat kotor dan menjijikkan; ghairah bercakaran demi habuan dan mengisi tembolok ketika rakyat perih meniti hari-hari sukar.

Saya – seperti juga orang awam lainnya – tidak mampu untuk mempengaruhi apa yang akan berlaku. Sedangkan mereka cukup terkesan dengan perubahan kepimpinan dan peralihan kuasa. Soalnya, apakah kita hanya berstatus pemerhati pasif sahaja?

Ya, benar ini hanya permainan licik seputar 222 ahli Parlimen. Rakyat telah memberi amanah untuk mengurus-memulihkan negara yang hampir punah di bawah regim lama, malangnya sebahagian daripada wakil rakyat ini lebih sibuk dan ghairah menguruskan kepentingan politik masing-masing.

Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk negara tercinta, terutama di waktu pandemik Covid-19 dan krisis ekonomi sekarang. Sidang media Anwar semalam permulaan kepada cerita yang lebih panjang dan mendebarkan. Macam-macam boleh berlaku. Ada yang mengikut skrip dan mungkin tercetus nanti peristiwa tidak terduga. Aksi khianat hujung Februari itu juga bukan semuanya menurut kehendak pengarahnya. Begitulah lazimnya pentas politik. Aktor tidak perlu menunggu arahan sutradara sepenuhnya. Masing-masing peka dan sensitif dengan kepentingan sendiri.

Moga rakyat terselamat daripada terus menjadi korban bertindih. Pengkhianat dan opurtunis politik yang mencuri kuasa 7 bulan lalu sememangnya harus didera. Namun gerombolan yang licik ini tentu ada perkiraan tersendiri demi survival pada setiap musim berubah.

Justeru, Anwar dan rakan-rakannya perlu lebih cermat, berhati- hati dan bijaksana. Jangan termasuk perangkap dan jerat musuh. Masa sama, saya masih menanti sikap politik rakan-rakan dalam Warisan dan penyokong Mahathir-Pejuang. Saya mengharapkan mereka turut tersenarai menyokong kerajaan baharu nanti. GPS yang keluar kenyataan menolak Anwar juga jadi tandatanya biarpun sudah dijangka. Satu lagi, sebagai pengerusi PH, kenapa Anwar semasa sidang media itu tidak diapit Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng? AMANAH dan DAP bukan lagi sekutu akrab dalam satu pasukan? Apakah ini gerak Anwar sebagai Presiden PKR semata-mata atau langkah berstrategi bertaraf super-sulit? Di mana kesatuan Pakatan Harapan dan rakan-rakan oposisi?

Apa pun persoalan berbangkit, moga pengakhiran yang baik menunggu, insya Allah. Ramai mendoakan penuh syahdu agar Malaysia yang teduh, redup dan sejahtera-makmur-adil buat semua warganya. Anwar sememangnya diberi mandat oleh rakan-rakan PH untuk memperolehi “cukup bilang”.

Secara peribadi, sejak kerajaan PH tumbang pada akhir Feb lalu, saya konsisten menyokong penuh usaha untuk merebut semula kuasa yang dirompak itu. Tidak timbul soal kemaruk kuasa seperti yang dituduh-ditohmah. Ia adalah amanah rakyat yang mesti dipertahankan, apatah lagi kerajaan pintu belakang yang didirikan itu dilihat mewarisi regim lapuk kleptokrasi dan korupsi. Apa juga langkah pembaharuan yang dimulakan terhenti secara tiba-tiba.

Namun, perasaan saya berbaur; gembira, bersyukur, risau dan agak gementar kali ini. Masih terlalu awal untuk membuat rumusan, apatah lagi kenduri kesyukuran hanya berdasarkan sidang media penuh nekad Anwar itu. Tunggu dan lihat, serta panjatkan doa. Pendamkan dahulu soalan bertali-arus. Beri peluang buat Anwar mengumpul sokongan menyelamatkan negara, memartabatkan semula mandat rakyat. Selamat maju jaya Anwar.

Seorang kenalan sempat menitipkan soalan tambahan: “Sidang media tengahari Rabu itu ibarat paku terakhir buat keranda …. soalnya keranda siapa?”

Tiada ulasan: