Imlan Adabi
Sepatutnya Abdul Hadi Awang memuji wartawan yang bebas melaporkan kes-kes rasuah. Bukan sebaliknya. Sepatutnya Abdul Hadi memberikan sokongan kepada media yang mendedahkan salah guna kuasa, bukan mengggunakan hadis atau al-Quran untuk menghukum pendedahan membabitkan individu berkuasa.
Abdul Hadi sebagai ulama bertaraf dunia sepatutnya menyarankan kepada perdana menteri agar menggantung tugas mana-mana individu yang dikaitkan dengan penyelewengan sementara menanti proses siasatan adil berjalan.
Jika ada kes, ia perlu segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan undang-undang di mahkamah.
Suara Abdul Hadi mudah didengar dan dipercayai oleh Ismail Sabri Yaakob kerana kealimannya ketika memberi pandangan bernas dan tepat. Sejak memperkenalkan Amanat Haji Hadi pada awal dekad 1980-an, Abdul Hadi adalah pimpinan luar biasa dan setiap tutur katanya kaya dengan falsafah, perbandingan dan ilmu mantik yang tinggi.
Abdul Hadi bukan bertaraf Mohamad Sabu atau Rina Harun. Sebagai pimpinan parti Islam terbesar di Malaysia, Abdul Hadi bukan lagi tuan guru bertaraf Mokhtar Senik atau Ahmad Dusuki Abdul Rani.
Hadi tokoh besar dunia Islam yang diakui keilmuannya. Ilmu agama Abdul Hadi tinggi, tilikannya tentang ilmu siasah amat mendalam.
Memperlecehkan Abdul Hadi sama seperti merendahkan barisan saf di Masjid Rusila yang bersejarah itu.
Malangnya Abdul Hadi mengambil sikap tidak munasabah apabila mempertikaikan laporan media tentang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengizinkan adiknya membeli saham menggunakan akaunnya.
Sesuai dengan status diplomat
Umumnya media hanya melaporkan bukti-bukti yang ada: Pembelian saham memang ada, guna nama orang lain untuk beli saham memang wujud. Cuma wartawan tidak boleh membuktikan wang yang digunakan untuk pembelian itu milik adik atau abang.
Isu ini menarik perhatian massa apatah lagi dikaitkan individu profil tinggi agensi kerajaan.
Sikap Abdul Hadi amat pelik dan luar biasa apabila dia tidak seronok wartawan mendedahkan isu yang ada kepentingan awam. Sebagai pengamal media lebih 30 tahun, saya lihat kewajaran media untuk melaporkan sesuatu isu yang boleh memberi kesan kepada kerajaan yang Abdul Hadi sokong.
Abdul Hadi sebagai pejuang Islam sejak 1970-an wajar bersuara dan dengan statusnya sebagai duta khas ke Timur Tengah, dia wajar mendesak individu yang dikaitkan dengan isu tersebut bercuti bagi memberi ruang proses undang-undang berjalan lancar.
Perbuatan rasuah dan salah guna kuasa adalah bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Abdul Hadi yang kelilingi ulama lain dalam partinya dan kerajaan wajar tegas bersuara kerana Islam mengutamakan amar maaruf nahi mungkar.
Rasuah adalah perbuatan mungkar seperti meminum arak, berjudi, menyembah berhala dan bertenung nasib.
Abdul Hadi wajar kesipuan apabila melihat banyak negara sekular bahkan memiliki tahap integriti tinggi, dan pada masa sama mempunyai kadar rasuah yang amat rendah. Switzerland, Finland dan Sweden tidak ada ulama bertaraf dunia seperti Malaysia, namun mempunyai kes rasuah yang kecil.
Malaysia dan Indonesia yang kononnya bangga dengan susila Melayu dan amalan Islam sebaliknya mempunyai kes rasuah yang tinggi.
Tidak pelik orang yang bersolat, berzakat, pergi haji dan umrah berkali-kali namun tidak segan silu untuk beramal dengan rasuah dan bersedap-sedap menyalah guna kuasa.
Adakah Abdul Hadi tidak sedar bekas perdana menteri Malaysia yang dulu menjadi sekutu rapat PAS sudah dihukum 12 tahun penjara kerana salah guna kuasa?
Senarai negara 'kotor'
Adakah Abdul Hadi tidak sedar banyak kawasan hutan di Lojing dan Gua Musang kian gondol dan menakutkan, malah mungkin suatu hari nanti Kelantan tidak mempunyai banyak bezanya dengan Pahang dalam kesangsian isu pembalakan haram?
Ada negara yang melaksanakan hukuman mati terhadap perasuah dan salah guna kuasa. China tegas dalam isu ini tetapi gagal menghentikan amalan yang sudah membudaya di negara itu.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 oleh Transparency International, China menduduki tempat ke-78 paling kotor dalam kalangan 180 negara yang diselidik.
Sebagai bandingan, Malaysia yang tiada hukuman mati untuk pesalah rasuah berada di tempat ke-57. Atau dalam kata lain, 21 tempat di depan China. Lebih menarik lagi antara 10 negara paling bersih, New Zealand dan lapan negara Eropah (Denmark, Finland, Sweden, Switzerland, Norway, Belanda, Jerman dan Luxemburg) langsung tiada hukuman mati.
Satu-satunya negara sebelah timur - Singapura - yang mencapai tempat ketiga mempunyai hukuman mati tetapi tidak menggunakannya untuk rasuah.
Semua 10 negara yang paling bersih adalah negara maju dengan demokrasi pelbagai parti yang mampan. Sebaliknya, 10 negara paling kotor (Sudan Selatan, Somalia, Syria, Yaman, Venuzuela, Sudan, Guinea Khatulistiwa, Libya, Korea Utara dan Haiti) adalah negara yang miskin, sesetengahnya diperintah oleh kerajaan kuku besi, dan dibelenggu peperangan atau krisis politik.
Malaysia yang ramai ulama, kaya dengan kepelbagaian budaya dan kaum mempunyai banyak recam politik, dan rasuah. Abdul Hadi perlu sedar rasuah untuk diperangi bukan untuk disokongi apatah lagi apabila ia membabitkan kepentingan lain.
Tumbang kerana korup
Kegagalan China untuk membanteras rasuah bukan kerana hukuman yang ada tidak berat, tetapi kerana ganjaran rasuah besar dan kebarangkalian dihukum rendah. Kedua-duanya berkaitan dengan sifat China sebagai negara satu parti.
Kerajaan China mempunyai kuasa besar kerana tiada pembangkang, tiada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melantang dan tiada media yang bebas. Maka, sekalipun jika pemimpin negara bersih, pemimpin di peringkat tempatan dan badan berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai kuasa besar untuk dapatkan ganjaran besar melalui rasuah.
Masalah lebih besar ialah China tiada badan pendakwaan dan badan penghakiman bebas.
Pegawai didakwa dan dihukum hanya setelah mereka hilang kuasa, sesetengahnya memang kerana rasuah, sesetengah hanya setelah gagal dalam perebutan kuasa.
Sejak 2012, baru seorang berpangkat timbalan menteri - Lai Xiao-ming pada Jan tahun lalu - dijatuhi hukuman mati kerana rasuah. Bekas ketua syarikat pengurusan aset terbesar milik kerajaan dijatuhkan hukuman mati kerana menerima rasuah berjumlah AS$260 juta (RM1.04 bilion).
Di Malaysia, suara menentang rasuah begitu lantang sehinggakan kerajaan yang terkenal korup tumbang pada Mei 2018. Kini Abdul Hadi yang menjadi sekutu kepada rejim yang sedang berkuasa sekarang wajar memainkan peranan.
Sokonglah wartawan yang mendedahkan skandal rasuah dan salah guna kuasa.
Wartawan sejati ialah pelapor perubahan zaman dan pencetus pembangunan akhlak rakyat. Wartawan sejati bukan pelapor majlis ceramah politik yang kemudian mengedarkan kopiah dan tin Milo untuk mengutip derma yang kononnya jihad.
IMLAN ADABI ialah sasterawan dan mantan penulis khas Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan