SHAHBUDIN HUSIN
Menjadi perbualan hangat di seluruh negara bahawa PRN Johor akan diadakan dalam waktu terdekat ini, mungkin dalam tempoh hanya sebulan dua akan datang saja lagi.
Dua faktor dilaporkan sebagai sebab mengapa Umno mahu menyegerakan PRN di Johor dan tidak menunggu ia diadakan bersekali dengan PRU15 yang entah bila tarikhnya.
Pertama, berikutan kematian Adun Kempas mewakili Bersatu, Osman Sapian baru-baru ini, kerajaan negeri pimpinan Hasni Mohamed kini hanya tinggal satu majoriti di Dewan Undangan Negeri atau DUN Johor.
Kedudukan tersebut, selain meletakkan kerajaan negeri tidak stabil, ia juga menyebabkannya sukar menggubal sesuatu dasar yang jelas.
Untuk itu, berdasarkan prestasi di PRN Melaka, Umno dan BN yakin mereka mampu sekali lagi mengulangi pencapaian cemerlang itu, sekaligus membentuk sebuah kerajaan yang kukuh di Johor.
Maka, itulah sebabnya dikatakan keperlukan menyegerakan PRN Johor tidak dapat dielakkan lagi.
Sebab kedua mengapa PRN Johor mahu disegerakan ialah kerana Umno yang menunjangi kerajaan negeri sekarang mahu berkuasa sendiri secara penuh atas nama BN semata-mata.
Dalam kerajaan negeri yang ada sekarang, Umno masih berkongsi kuasa dengan Bersatu.
Tentunya kerana berasakan diri mereka sudah cukup kuat, secara jelasnya PRN itu adalah tiket untuk menyingkir dan mengenepikan Bersatu daripada kerajaan negeri.
Lalu, tercetuslah ungkapan bahawa PRN diperlukan segera untuk menghentikan gangguan pengkhianat daripada Bersatu.
Yang sahih sebenarnya, persekongkolan Umno dan Bersatu membentuk kerajaan negeri sebelum inilah yang menjadikan kedua-duanya adalah pengkhianat – satu pihak khianat kepada rakyat dan satu pihak lain khianat kepada PH yang sebenarnya adalah pemilik mandat.
Sekilas lalu, itulah dua sebab mengapa Umno begitu inginkan PRN segera diadakan di Johor, tambahan lagi BN masih mahu menumpang aura kemenangan di Melaka yang baru saja dicapainya.
Menariknya, jika PRN Melaka diadakan sebab ada Adunnya beralih arah dan menjatuhkan kerajaan sendiri, di Johor pula, jika berlaku PRN, ia adalah disebabkan kerajaan negeri sendiri menjatuhkan kerajaannya sendiri kerana tidak selesa dengan rakan sendiri yang ada dalam kerajaan negeri.
Tetapi, jika diteliti dengan mendalam, ditambah dengan tempoh akhir yang dibenarkan oleh RoS atau Pendaftar Pertubuhan untuk Umno mengadakan pemilihannya iaitu sebelum 29 Disember 2022 serta keinginan utama pimpinannya mahu PRU15 diadakan lebih dulu sebelum pemilihan parti, PRN Johor ini harus diakui merupakan sebahagian daripada agenda ke arah itu.
Agenda Umno melalui PRN Johor ini bukan setakat untuk menyingkirkan Bersatu daripada kerajaan negeri dan melemahkannya dalam PRU15 akan datang, malah dalam masa yang sama juga untuk mengekang dan melumpuhkan pengaruh kuasa Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Sekarang Umno sudah menang bergaya di Melaka dan jika kemenangan bergaya juga dicapai di Johor, Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib Razak dan pimpinannya yang lain pasti akan mendabik dada mengatakan sokongan rakyat telah kembali diperolehi dan untuk itu, PRU15 mesti disegerakan.
Ismail Sabri yang merupakan calon Perdana Menteri pilihan Mahiaddin dan diketahui umum lebih condong kepada bekerjsama dengan Bersatu dan PN untuk mendepani PRU15, jika setelah Umno menang bergaya di Johor nanti, dengan sendirinya akan hilang sebahagian kekuatannya untuk melewatkan lagi tarikh pembubaran Parlimen.
Kekuatan Umno dalam kemenangan itu akan lebih dilihat kerana pengaruh Zahid Hamidi, Mohamad Hasan, Najib, Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan lain-lain pemimpin yang sealiran pemikiran mahu menolak Bersatu.
Lebih parah lagi hilangnya pengaruh Ismail Sabri itu nanti jika selepas menang di PRN Johor, negeri Perak yang diterajui oleh penyokong kuat Zahid Hamidi sebagai Menteri Besar iaitu Sharani Mohamad turut mengambil langkah yang sama menyegerakan PRN juga.
Akhirnya, dengan satu demi satu negeri mengadakan PRN dan Umno mampu mencipta kemenangan, Ismail Sabri tidak mungkin dapat bertahan lagi daripada desakan pimpinan utama partinya sendiri agar mengadakan PRU15 sebelum pemilihan Umno.
Dengan beberapa negeri sudah diadakan PRN dan dikuasai Umno peluang BN memenangi PRU15 memang nampak lebih cerah dan terbuka, cuma peluang Ismail Sabri saja akan makin tertutup untuk menjadi calon Perdana Menteri dan “poster boy” sebagaimana impian Annuar Musa dan pemimpin kluster kabinet lain yang tiada jawatan dalam hieraki parti.
Keperluan mendesak PRU15 sebelum pemilihan Umno adalah perunjuk utama sama ada Zahid Hamidi mampu bertahan lagi dengan jawatannya atau tidak dalam pemilihan Umno selepas itu nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan