"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu dimandikan seperti jenazah: Hukuman didorong emosi, amarah tidak boleh diterima

MOHD ALI HASHIM

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) kesal dengan tindakan beberapa ahli kariah sebuah masjid yang memandikan seorang remaja lelaki dengan mandi jenazah ekoran kesalahan remaja berkenaan yang cuba mencuri tabung masjid.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun tindakan mencuri sama sekali tidak dapat diterima, tetapi mengikut Islam, perihal kedudukan sebenar latar belakang hidup pelaku harus menjadi pertimbangan sebelum hukuman dilaksanakan.

“Malangnya tindakan pimpinan masjid mengambil tindakan tersendiri bukan sahaja menghukum dengan cara melampau, sebaliknya mengaibkan remaja tersebut dengan menyebar luas tindakan sedemikian.

“Terbukti pendedahan latar belakang remaja mengambil jalan pintas mencuri tabung masjid sangat memprihatinkan setelah kesukaran hidup bersama datuk yang sakit dan susah serta suasana keluarga remaja terbabit.

“Walaupun tindakan remaja ini salah, tetapi tindakan yang dipamerkan oleh pimpinan masjid juga salah dan melampau sedangkan mereka seharusnya sedar tindakan mereka didorong oleh emosi dan kemarahan serta tidak boleh diterima,” ujar beliau.

Malah kata Mohd Azmi lagi, pihak masjid sepatutnya menyerahkan remaja tersebut kepada pihak berkuasa dan sekiranya latar belakang remaja tersebut diambil kira, pihak masjid sewajarnya mencari solusi bagi mendidik dan membantu remaja terbabit.

Tambahnya, amat dikesali kerana insiden yang tular melalui video tersebut memberi gambaran tidak baik terhadap institusi masjid dan Islam itu sendiri.

Sehubungan itu tegas beliau, kepimpinan masjid diharapkan untuk menilai setiap tindakan dan menjadikan insiden terbabit sebagai contoh dan pengalaman serta mengambil langkah yang wajar memperbetulkan kesalahan mereka.

Tiada ulasan: