"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Skandal rasuah terbesar di dunia, tiga perempuan Melayu terlibat’

FAZLI RADZI

Skandal rasuah yang merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara melalui syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) rupa-rupanya turut membabitkan tiga wanita Muslim.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, pendedahan bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Scahs, Tim Leissner di mahkamah Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini amat mengejutkan.

Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, sebelum ini semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018 apa yang diketahui ialah pembongkaran mengenai penerimaan sejumlah besar oleh Datuk Seri Najib Razak daripada ‘Tok Arab’.

“Usul tergempar dibawa oleh Ketua Pembangkang semalam supaya dibincangkan skandal terbesar hal Malaysia dibongkar di mahkamah Amerika. 

“Pihak Speaker bersetuju usul itu dibincang tetapi bukan dalam Parlimen tetapi dalam kamar khas.

“Wahai penjawat awam dan pegawai polis, lihatlah skandal rasuah di Malaysia dibicarakan di Amerika.

“Pendedahan ini paling mengejutkan kita. Saya tidak tahu sebelum ini. Yang saya tahu Najib dapat 2.5 bilion daripada Tok Arab. Itu yang kita jaja sebelum PRU-14 dulu.

“Sekarang terdedah beberapa bilion lagi diberi kepada ahli perniagaan, orang (kulit) putih dan di antaranya dia gunakan wang itu untuk kekasih ke untuk perempuan simpanan ke.

“Dia bayar AS$10 juta (kira-kira RM41.8 juta) beli rumah di London menggunakan wang rakyat untuk skandal kehidupan mereka.

“Paling memalukan dunia sekarang ini. Yang terlibat itu tiga perempuan Melayu,” katanya malam tadi semasa Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

1Malaysia Development Berhad (1MDB)Tim Leissner  Datuk Rohana Rozhan

Mohamad Sabu

Untuk rekod, Leissner, 52, dalam prosiding mahkamah di AS baru-baru ini mendedahkan bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan tiga wanita Islam di negara ini

Mengulas lanjut, Mohamad berkata beliau secara sinis bersyukur di Parlimen semalam dengan pembongkaran perempuan yang turut melibatkan keluarga jutawan dan ahli politik di negara ini.

“Saya sebut dalam Parlimen (semalam), Alhamdulillah. Orang Melayu sudah sampai peringkat dunia bukan terkenal seperti Wan Azizah yang menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Bukan terkenal seperti Hannah Yeoh yang mendapat anugerah di peringkat antarabangsa tetapi terkenal kerana rasuah.

“Orang putih itu mengaku menerima (rasuah). Barulah SPRM bertindak panggil Rohana buat siasatan selama lapan jam,” jelasnya.

Untuk rekod, Rohana merujuk kepada Datuk Rohana Rozhan iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd yang merupakan salah seorang wanita Muslim yang didedahkan Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York pada minggu lalu. 

Leissner memberitahu ada membelikan wanita berusia 52 tahun itu sebuah kediaman bernilai AS$10 juta (RM41.9 juta) di London.

Pendedahan itu dibuat selepas pendakwa raya, Drew Rolle bertanyakan sama ada Leissner memberi Rohana sejumlah wang yang diterimanya daripada 1MDB.

Kata Leissner lagi dipetik Agensi, pembelian itu dibuat pada 2013 selepas Rohana yang juga anak bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

“Rohana tidak gembira dengan keputusan saya menamatkan hubungan kami bagi membolehkan saya bersama dengan bakal isteri, Kimora,” katanya merujuk kepada isterinya, Kimora Lee Simmons, yang juga bekas model antarabangsa.

Leissner ketika ditanya Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, turut memberitahu hubungan mereka berlanjutan selama 10 tahun sejak 2003.

Sebelum ini, Leissner dipetik berkata ‘ketamakan dan cita-cita besar’ mendorong pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Bekas rakan kongsi Goldman Sachs berkenaan mengakui itulah motifnya terbabit dalam skandal rasuah yang merompak berbilion dolar daripada dana kekayaan negara Malaysia melalui syarikat pelaburan strategik, 1MDB.

Dia menjadi menjadi saksi utama dalam perbicaraan jenayah bersubahat membabitkan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia, Roger Ng, yang juga bekas rakan kongsinya.

Terdahulu, Ng, 49, dituduh menerima sogokan berjuta-juta dolar kerana membantu menggelapkan dana 1MDB.

Walau bagaimanapun, Ng mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.

Sebaliknya, pada tahun 2018, Leissner mengaku bersalah atas tuduhan serupa dan bersetuju untuk bekerjasama dengan siasatan kerajaan. 

Leissner berkata, Ng adalah jurubank utama Goldman Sachs di 1MDB dan mempunyai hubungan dengan Jho Low, yang menjadi perantara utama antara bank dan 1MDB bermula pada 2008.

“Ng membawa masuk perniagaan 1MDB kepada Goldman, yang akhirnya menjual AS$6.5 bilion (RM2.78 bilion) dalam bentuk bon untuk dana itu dan memperoleh bayaran AS$600 juta (RM2.59 bilion).

“Ini dengan serta-merta menjadikan kami wira dalam bank itu, mendorong ketamakan dan cita-cita saya untuk mengambil alih,” kata Leissner sambil menambah tindakan itu mengakibatkan hidupnya musnah.

Lapor Reuters lagi, Leissner berkata, jurubank di Goldman Sachs akan diambil bekerja dalam setiap urus niaga pelanggan dan ketiadaan mereka ‘tidak boleh diterima’ sama sekali.

“Tumpuan utama bagi saya ialah melakukan apa saja yang diperlukan untuk menyelesaikan urus niaga ini untuk Goldman Sachs,” katanya.

Leissner turut menambah dalam mesyuarat di London pada 2012, Jho Low menyenaraikan individu di Malaysia dan Abu Dhabi, yang menurutnya perlu disogok untuk rancangan mengumpul AS$1.75 bilion (RM 7.32 bilion) hutang 1MDB bagi mendapat kelulusan.

Sebuah syarikat yang berpangkalan di Abu Dhabi bertindak sebagai penjamin untuk 1MDB dalam perjanjian itu, kata Leissner lagi.

Dalam senarai itu dicatatkan nama bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mansour.

Jho Low menyatakan mereka “tidak akan bangun dari katil untuk apa-apa kurang daripada AS$100 juta (RM418 juta)”, menurut keterangan Leissner.

Jho Low, dalang di sebalik skandal itu didakwa di AS bersama Ng pada 2018, namun dia masih belum ditangkap oleh AS atau pihak berkuasa Malaysia.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga bekas Menteri Pertahanan ketika era kerajaan PH berpendapat skandal rasuah yang melibatkan begitu banyak wang negara dibimbangi akan menjejaskan kemakmuran ekonomi Malaysia.

“Selama ini kita tidak tahu skandal 1MDB adalah skandal rasuah terbesar dalam dunia. Sudah tentulah terbongkarnya perbicaraan di mahkamah Amerika, pelabur-pelabur yang datang ke Malaysia akan berfikir beberapa kali.

“Mereka bimbang sistem kehakiman kita yang dulunya amat dihormati tetapi sekarang seolah-olah ada dua kelas iaitu kelas kayangan dan kelas rakyat biasa,” kata bekas Timbalan Presiden Pas itu lagi.

Tiada ulasan: