"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Dah lewat untuk lawan Umno’, Dr M beritahu Muhyiddin

FMT Reporters

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad, hari ini, “menyerang” Muhyiddin Yassin dengan mengatakan tindakan bekas Perdana Menteri itu melawan Umno sudah terlewat.

Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri sebelum berlakunya “Langkah Sheraton”, yang mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 2020 selepas 22 bulan memerintah, sebelum itu, ada bertanya sama ada Muhyiddin sanggup bekerjasama dengan “kleptokrat dan kluster mahkamah Umno”.

Kluster mahkamah merujuk kepada sebilangan pemimpin Umno yang dituduh di mahkamah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Muhyiddin, mengikut apa dikatakan Mahathir, berkata politik lebih penting daripada prinsip.

Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi, yang menubuhkan Pejuang selepas ditolak Bersatu, berkata beliau percaya Muhyiddin akan dikhianati puak kleptokrat.

“Saya telah ingatkan bahawa kerjasama dengan kleptokrat dan kluster mahkamah Umno seumpama menunggang harimau dan dia (Muhyiddin) akan akhirnya dibaham,” katanya dalam surat terbuka kepada pengundi Johor.

Mahathir berkata, sangkaannya menjadi kenyataan apabila Muhyiddin dikhianati Umno dan hilang jawatan sebagai Perdana Menteri, 17 bulan kemudian selepas mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020.

“Inilah hasil daripada mengutama politik dan bukan prinsip. Agak terlewat bagi Muhyiddin melawan Umno.”

Surat terbuka Mahathir itu muncul dalam perang mulut antara Muhyiddin dan Presiden Umno Zahid Hamidi.

Muhyiddin, baru-baru ini, mendakwa Zahid mahu kes mahkamahnya digugurkan, tuduhan yang bagaimanapun dinafikan Zahid.

Tiada ulasan: