FMT Reporters
Najib Lep merupakan satu-satunya wakil PAS dalam DUN Johor, hari ini, bertindak bertanding atas tiket Bebas, sekali gus menyaksikan pertembungan enam penjuru. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir dari PAS, Najib Lep, bertindak bertanding sebagai calon atas tiket Bebas di kerusi berkenaan.
Najib yang merupakan satu-satunya wakil PAS sebelum DUN Johor dibubarkan, pada 22 Januari lalu.
Tindakan itu menyaksikan Najib akan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen PAS, selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.
Najib berkata, beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pimpinan parti kerana melanggar arahan dan mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Bebas di kerusi DUN berkenaan.
“Saya tahu beberapa hari sebelum PN mengumumkan calonnya dan saya akan dipindahkan ke DUN lain. Ini adalah perkara yang tidak adil kepada penduduk di kawasan saya berkhidmat sebelum ini (Bukit Pasir).
“PAS berhak mengambil sebarang keputusan atas tindakan saya ini, tetapi saya harap mereka dapat tahu mengapa saya lakukan begini, semuanya kerana urusan saya di DUN Bukit Pasir masih belum disempurnakan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Pada hari Penamaan calon PRN Johor bagi DUN Bukit Pasir, Najib akan menentang Akhiri Mahmood (Pejuang), Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Nur Iqbal Abd Razak (PN) dan Johar Siraj (Bebas).
Sebelum ini, pada pilihan raya umum ke-14, Najib dipilih sebagai Ahli DUN di kawasan berkenaan selepas menang dengan majoriti 1,883 undi mengalahkan Noriah Mahat daripada BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan