"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid bayangkan tiada PRU sebelum 31 Julai

Malaysiakini

Selepas hebat mendesak supaya pilihan raya umum (PRU) diadakansegera, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini memberi bayangan bahawa parti itu tidak terlalu tergesa-gesa.

Zahid dan timbalannya Mohamad Hasan membayangkan Umno perlu menunggu memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) - yang menetapkan parlimen tidak boleh dibubarkan sebelum 21 Julai - berakhir.

Bercakap pada sidang media selepas tamat perhimpunan agung Umno (PAU) 2021 hari ini, Zahid berkata, terdapat tempoh masa sebelum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob perlu mengumumkan pilihan raya.

Ini kerana katanya, perkara itu masih belum dibincangkan oleh lima pemimpin tertinggi parti.

"Kekerapan untuk kami berlima bertemu adalah tidak kurang daripada sebulan setengah bagi setiap pertemuan namun jika ada isu yang melibatkan parti dan juga isu rakyat kami akan berjumpa lebih kerap daripada itu," katanya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah timbalannya, Mohamad.

Zahid berkata terpulang kepada "kebijaksanaan" perdana menteri berhubung MOU itu, dan pihaknya menghormati keputusan yang dibuat Kabinet.

“Soal garis masa (PRU15) kita merasakan MOU yang telah ditandatangani antara kerajaan dan parti pembangkang telah ditetapkan pada Julai maka PRU sama ada mahu diadakan sebelum atau selepas itu.

“Maka MOU itu dihormati dan beberapa pertimbangan politik akan dijanjikan asas perdana menteri untuk gunakan budi bicara untuk menentukan,” katanya lagi.

Tambah presiden Umno itu bukan pihaknya yang mahukan pilihan raya umum diadakan, tetapi rakyat.

"Umno hanya mendesaknya berdasarkan pelbagai faktor," katanya ringkas.

BN sebelum ini mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor dengan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya berkenaan.

Bagaimanapun BN gagal memenangi undi popular di kedua-dua negeri, dengan memperoleh kurang daripada 50 peratus jumlah undi.

Sementara itu, ditanya sasaran kerusi untuk dimenangi pada PRU15, Zahid berkata dia tidak boleh mendedahkan strategi Umno kepada pihak media.

Zahid juga tidak menjawab apabila ditanya mengenai calon perdana menteri, namun mengaitkannya dengan insiden pelantikan menteri besar Johor.

“Kami ada calon, di Johor 'poster boy' kami ialah Hasni (Mohammad), tetapi anda tahu...

“Tetapi saya tidak fikir 'poster boy' itu bahan untuk kita promosikan sekarang.. atau nanti... kerana terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan.

"Tetapi perkara itu pasti akan dibincangkan sesama kita," katanya.

Terdahulu, semasa sesi penggulungan perhimpunan agung, Zahid mengusik Mohamad dengan mengatakan kemungkinan timbalannya itu akan menjadi perdana menteri seterusnya.

Kata Zahid, jika ada rezeki Mohamad, timbalannya itu mungkin boleh menjadi perdana menteri pada PRU ke-16.

“Tok Mat, kalau nak jadi perdana menteri kena tunggu,” katanya.

Zahid berkata Umno hanya mencalonkan satu nama iaitu Ismail Sabri Yaakob bagi jawatan perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Bagaimanapun, Zahid berkata dia tidak cemburu dengan Ismail yang merupakan pimpinan bawahannya dalam Umno - menjadi perdana menteri.

"Saya tidak pernah cemburu," katanya.

Tiada ulasan: