"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Masalah sosial remaja Kelantan serius - Polis

Hazira Ahmad Zaidi

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Masalah sosial dalam kalangan remaja Kelantan semakin meruncing, dengan 197 orang ditahan polis sepanjang tahun lalu kerana terbabit kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, daripada jumlah itu, 100 remaja ditangkap kerana kes rogol dan sumbang mahram yang jumlahnya meningkat 19 peratus berbanding tahun 2020 (84 orang).

Katanya, seramai 97 remaja pula terbabit penyalahgunaan dadah dan pihaknya merampas pelbagai jenis barang larangan terutama pil yaba dan syabu.

"Gejala sosial remaja di Kelantan berada pada tahap serius dan ini dapat dilihat daripada statistik terkini di mana berlaku peningkatan penglibatan golongan ini khususnya, dalam kes-kes rogol dan sumbang mahram," katanya hari ini

Terdahulu beliau merasmikan Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial Remaja Peringkat Kontinjen Kelantan 2022 di sini.

Shafien berkata, remaja pada usia 10 hingga 18 tahun berada pada fasa perkembangan ke alam dewasa dan peralihan daripada zaman kanak-kanak menimbulkan sikap ingin mencuba, selain alami perubahan lain termasuk fizikal, jasmani, sosial dan emosi.

Disebabkan itu, katanya, remaja perlu dibantu agar tidak hanyut dan gagal mengurus kehidupan dengan baik dan beliau mengesyorkan semua pihak memainkan peranan untuk menangani isu itu.

"Hal ini tidak seharusnya dipandang remeh kerana remaja merupakan tonggak dalam menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang," katanya.

Beliau berharap ada usaha dan kerjasama dimainkan semua pihak untuk membantu remaja, seperti Program Pameran Cakna Menangani Gejala Sosial yang boleh menyuntik semangat keprihatinan.

Tiada ulasan: