"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mentafsir bahasa Umno di PAU 2021

Malaysiakini

PULASAN - Mentafsir bahasa Umno di PAU 2021

Al-Abror Mohd Yusuf

Sangat menarik apabila orang besar-besar Umno menunjukkan rasa seronok masing-masing kepada bahasa Melayu semasa mereka berhimpun - dan 'berkhalwat' - di Kuala Lumpur mulai Rabu hingga Sabtu lalu.

Sudah tentu isu bahasa Melayu kadang-kadang meniti di bibir orang besar-besar Umno. Tetapi tidak dapat dipastikan bila kali terakhir perhimpunan agung tahunan parti itu mendengar isu mengukuhkan bahasa Melayu keluar dari mulut seorang perdana menteri.

Sesekali memang adalah isu bahasa diungkapkan, tetapi rasanya bukanlah oleh perdana menteri. Perwakilanlah yang kadang-kadang membahaskannya. Namun pada Sabtu lalu Ismail Sabri Yaakob menegaskan beberapa perkara menarik mengenai bahasa Melayu.

Pun begitu bahasa Melayu bukanlah satu-satunya isi menarik sepanjang persidangan tahunan Umno itu berlangsung selama empat hari. Berikut adalah beberapa isi penting berkaitan bahasa dalam perhimpunan tersebut:

* Bahasa walak

Ia tidaklah menyeluruh atau total. Tetapi tidak juga keterlaluan untuk mengatakan tahap bahasa walak Umno kali ini hampir total. Ia sudah tentu dapat difahamai kerana tidak lama lagi pilihan raya umum akan diadakan.

Dan 'kunci' untuk menjadi calon berada di jari-jemari pemimpin tertinggi parti.

Maka bergemalah di dewan persidangan akan hampir semua suara pemimpin dan perwakilan sederap dan seirama dengan nada presiden.

* Bahasa kipas

Ini adalah bahasa universal dalam semua cabang hidup, apatah lagi dalam politik. Ia juga banyak berkait dengang kelangsungan hayat seseorang dalam langkahnya untuk meningkat dari satu takah ke takah yang lebih tinggi.

Bahawa adat Melayu selalu menghormati orang tua itu memang ada benarnya. Dan jangan dilupa pula menjaga ketua juga tidak kurang pentingnya sama ada dalam politik atau dalam berkerjaya.

Lebih daripada itu jangan dilupakan hakikat bahawa perkataan "tua" itu ada pada "ketua". Justeru kita yang selalu mahu kerja mudah dan mendapat laba banyak akan 'mengipas' ketua setiap kali ada peluang.

Budaya kerja kebanyakan kita ialah: kalau ketua senang, anak buah ada peluang yang sangat besar untuk berasa lenang.

Maka di sana sini pujian dan ampu-ampuan daripada seorang ketua kecil kepada ketua yang lebih besar itu diapungkan selama empat hari persidangan berlangsung. Ia akan lebih ketara jika seseorang 'ketua' itu memiliki jawatan tinggi atau kanan dalam kerajaan.

* Bahasa melawan

Pun begitu untuk berlaku adil, tidaklah semua ahli Umno itu berkomunikasi lancar dengan bahasa kipas dan bahasa walak. Di sana ini ada juga yang mahu menentang arus.

Biasanya individu itu memang diketahui sikapnya yang berterus-terang dan tidak peduli sedikit pun akan kemarahan pemimpin parti. Orang seperti Nazri Aziz adalah salah satu misalannya.

Siapa yang tidak kenal ahli parlimen Padang Rengas itu, kan?

Di sana juga ada beberapa menteri atau ahli parlimen yang berani menyergah pemimpin. Kadang-kadang aksi mereka itu seakan-akan mencari masalah pun ada. Tetapi andainya masalah tidak tercalon lagi untuk PRU akan datang menimpa mereka, dijangkakan ia tidaklah memberikan kesan yang terlalu besar.

Sesetengahnya sudah menjadi ahli parlimen berpuluh-puluh tahun.

* Bahasa tersirat

Di antara bahasa walak dan bahasa melawan, ada pula laras bahasa tersirat. Ini biasanya diguanakan oleh individu yang tidak sehaluan dengan kehendak pemimpin tetapi terlalu takut untuk menongkah arus.

Mereka memilih jalan 'selamat'.

Cuma kaedah ini ada risikonya juga. Sementelah ia adalah bahasa tersirat yang disandarkan kepada kiasan, ia membuka ruang kepada tafsiran yang pelbagai.

Di sana ada sudut untuk tersalah tafsir, atau memang sengaja enggan ditafsir. Maka jadilah kata-kata tersirat itu seperti pamphlet yang diedarkan di tempat tumpuan orang ramai.

Sesetengahnya dibaca, yang lain sekadar dilipat dan disimpan di dalam poket. Entah ada masa untuk dibaca atau tidak. Manakala yang lain berakhir sama ada di longkang atau tong sampah saja.

Satu lagi ruang bahasa tersirat diungkapkan ialah apabila pemimpin atau petugas parti memberi amaran kepada ahli agar berhati-hati apabila ditemu bual. Ia dibuat dengan mengaitkannya dengan tarikh pilihan raya yang semakin hampir tibanya.

* Bahasa curang

Bahasa ini perlu digunakan dengan berhati-hati dek kerana luasnya maksud curang berkenaan. Sesetengahnya cuba disingkirkan oleh presiden Umno sendiri dengan seyakin mungkin.

Misalnya bagaimana Umno mahu disakralkan apabila digambarkan tidak ada kena-mengena dengan pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya ketika negara ini diuar-uarkan beramal dengan demokrasi.

Umno juga sudah dua tahun bersidang dalam keadaan mereka dicurangi. Tentulah terasa sia-sia benar air mata yang mengalir di Dewan Merdeka pada 2019 lalu itu apabila akhirnya dilabel sebagai itik patah kaki.

Umno juga nampaknya sangat terkesan dengan kemunculan Bersatu dan tindakan sesetengah ahlinya melompat ke 'Parti Bunga' tersebut. Malah untuk kali ini kemarahan Umno kepada 'Parti Bunga' itu lebih ketara berbanding rakan muafakat mereka.

Bercakap mengenai amalan demokrasi, kita masih lagi berbangga dengan keunikannya di negara ini apabila tarikh pilihan raya masih menjadi rahsia dua tiga kerat orang sehinggalah ke detik-detik terakhir untuk mengejut dan mengasak lawan semaksimum mungkin.

Dan kita tidak pernah malu sedikit pun dengan perangai sebegitu. Tapi begitulah, malu apa bossku, kan?

* Bahasa badan

Ada beberapa kejadian bahasa badan ini dapat dikesan kalau diperhatikan betul-betul. Bahasa badan ialah bahasa yang sukar dikawal kerana selalunya ia berlaku secara bawah sedar.

Biasalah, kadang-kadang ketika orang lain ketawa berdekah-dekah, ada juga yang sekadar tersenyum kelat diam-diam dan jauh-jauh di belakang.

Pada masa sama, bahasa badan itu juga diuruskan dengan sedikit perasaan tidak tahu malu. Menyelit di sana sini konon-konon menjadi orang penting, misalnya. Atau perdana menteri diposisikan di tepian saja ketimbang sesetengah orang lain.

Cuma dalam konteks ini, selain boleh dikategorikan sebagai bahasa badan, ia juga boleh dianggap sebagai "nasib badan."

Demikian serba sedikit pengamatan yang dapat dilihat sepanjang empat hari Umno berkampung di tengah Kuala Lumpur pada minggu lalu. Sudah tentu agenda memperkasa bahasa Melayu itu wajar dialu-alukan.

Namun kalau Umno bijak, ia akan berusaha mendapatkan pandangan yang jernih daripada semua pihak. Mencerap puji-pujian daripada Dewan Bahasa dan Pustaka atau persatuan penulis saja, misalnya, akan menjadikan kempen membela bahasa Melayu menjadi langkah mengkal dan mandom.

Ia hanya akan menguntungkan sesetengah pihak berkepentingan, sama seperti sebelum-sebelum ini. Sesetengah pejuang bahasa pun mahir juga dalam bab laras bahasa mengipas itu.

Untuk permulaan, mungkin Umno boleh mula mendidik ahli parti - dan kemudian masyarakat secara keseluruhan - untuk mengeja secara betul. Memastikan pihak berkuasa tempatan menulis bandar raya, bukannya bandaraya; dan menyembunyikan sedikit rasa berahi melampau kepada DAP dengan menulis biadab berbanding biadap.

Tiada ulasan: