"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Skandal LCS: Rafizi akan namakan siapa 'jerung besar' esok

Malaysiakini

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli akan mendedahkan ahli politik yang terlibat dalam penyelewengan dana berhubung skandal projek prolehan kapal tempur pesisir (LCS) esok.

"Dia boleh dinamakan kerana bukti telah ada.

"Saya membuat keputusan untuk menamakan ahli politik tersebut untuk mengelakkan beberapa bilis sahaja dikambing hitamkan sedangkan jerung-jerung terlepas.

"Hebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. #AyuhMalaysia kita perangi mat-mat sakau yang merompak duit rakyat," katanya di Facebook.

Awal hari ini, Rafizi berkata bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia yang telah didakwa atau dijangka akan didakwa berhubung skandal itu bukanlah dalang sebenar.

Menurutnya, hanya "jerung besar" yang mempunyai kuasa ke atas projek itu, termasuk melantik kontraktor, menentukan spesifikasi projek, membuat bayaran pendahuluan dan mempunyai wang tunai disalurkan ke luar negara sebelum penghantaran kapal.

Bekas ahli parlimen Pandan itu berkata bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri pertahanan Ahmad Zahid Hamidi, dan Menteri Pertahanan semasa Hishammuddin Hussein tidak boleh lepas tangan berhubung skandal berkenaan.

Rafizi juga berjanji untuk memberikan butiran peralatan RM1.7 bilion yang dilaporkan disimpan, sambil menambah bahawa beberapa barangan itu tiada kaitan dengan pertahanan dan boleh dibeli dari kedai serbaneka 7-Eleven.

Mengulas skandal LCS Jumaat lalu, Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan berkata "jerung" dalam sesuatu kes penyelewengan tidak semestinya membabitkan pemimpin politik.

"Ini satu andaian yang tak semestinya tepat,” katanya

Menurut Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Ahmad Zahid yang ketika itu memegang portfolio pertahanan membenarkan kontraktor membina kapal tentera laut berdasarkan reka bentuk yang tidak diingini oleh tentera laut.

PAC juga mengesahkan bahawa kontraktor menghadapi masalah kewangan dan penghantaran kapal pertama sudah lewat tiga tahun.

Tiada ulasan: