"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan selepas 21 tahun kematian isteri

Agensi
LAMDUAN, gambar fail. FOTO BBC
LAMDUAN, gambar fail. FOTO BBC
London: Polis di Thailand menahan lelaki warga Britain, suami kepada Lamduan Armitage, seorang wanita warga Thailand yang mayatnya ditemukan di Yorkshire Dales lebih dua dekad lalu, lapor BBC.

Mayat separuh bogel Lamduan ditemukan pendaki di sebuah sungai kecil berhampiran Pen-y-ghent pada 2004.

Identitinya kekal tidak dikenali selama 15 tahun sehinggalah keluarganya melihat laporan BBC News dan tampil memberikan maklumat.

David Armitage, yang tinggal di Thailand sejak kematian isterinya, tidak melaporkan kehilangannya dan belum pernah ditemu bual oleh polis Thailand atau Britain mengenai keberadaan isterinya.

Dia kini ditahan di Bangkok sementara pihak berkuasa Thailand bersiap sedia untuk membatalkan visanya.

David, yang memiliki visa penduduk, ditahan pada Khamis di rumahnya di Kanchanaburi sebelum dipindahkan ke Pusat Tahanan Imigresen Bangkok.

David tidak mengemukakan permohonan imigresen, yang bermaksud dia tidak lagi mempunyai hak untuk tinggal di Thailand dan kemungkinan kembali ke UK atau berpindah ke negara lain, menurut pemahaman BBC.
IBU kepada tiga anak itu tinggal bersama suaminya di Portsmouth, Rugby, dan Preston antara 1991 hingga 2003. FOTO BBC
IBU kepada tiga anak itu tinggal bersama suaminya di Portsmouth, Rugby, dan Preston antara 1991 hingga 2003. FOTO BBC
Siasatan ke atas kematian Lamduan dijalankan oleh Polis North Yorkshire.

Jurucakap polis berkata, mereka sedar mengenai penahanan David dan menambah, "kami memahami perkara ini berkaitan dengan status visa dan kediamannya di Thailand, yang sepenuhnya adalah urusan perkhidmatan imigresen Polis Diraja Thailand."

"Jika David dihantar pulang, kami memahami bahawa dia mempunyai pilihan untuk kembali ke UK atau pergi ke negara lain. Jika itu berlaku, kami akan sekali lagi berusaha untuk berbicara dengannya mengenai siasatan ini""

BBC belum bercakap dengan David, tetapi menurut akhbar The Sun, David sebelum ini menegaskan tidak terbabir dalam kematian isterinya.

Lamduan, yang nama asalnya Seekanya, dikenali sebagai Lady of the Hills (Wanita Bukit) semasa usaha untuk mengenal pasti identitinya.

Pemeriksaan bedah siasat yang dilakukan selepas mayatnya ditemui pada 20 September 2004 gagal menentukan punca kematiannya.

Tiada tanda kekerasan ditemui dan kesan hipotermia turut disangkal, namun penyiasat tidak dapat menjawab dua persoalan utama, siapa dia (merujuk mayat mangsa ketika itu) dan bagaimana dia menemui ajalnya.

Kajian semula kes pada 2016 menggunakan kemajuan sains membolehkan polis membentuk gambaran yang lebih terperinci mengenai identiti Lamduan dan menyimpulkan bahawa dia dibunuh.

Tiga tahun kemudian, terdapat kejayaan besar apabila sebuah keluarga Thailand membaca tentang kes ini dan percaya wanita itu mungkin anak mereka yang hilang pada 2004.

Ini mendorong Polis North Yorkshire menjalankan ujian DNA untuk mengesahkan identitinya.

Hasil siasatan menunjukkan Lamduan berpindah ke UK pada 1991 bersama David selepas mereka berkahwin di Thailand. Mereka tinggal di utara England sebelum kematiannya.

Tiada ulasan: