Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my

Ahmad Mudzakkir (tengah) bersama saudaranya menunjukkan laporan polis dan gambar anak lelakinya selepas menjalani pembedahan di HSB, Alor Setar, semalam. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
ALOR SETAR: Seorang budak lelaki 11 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran terpaksa menjalani pembedahan apabila dikatakan mengalami pendarahan teruk selepas berkhatan di sebuah masjid di sini, kelmarin.
Bapanya, Ahmad Mudzakkir Ahmad Mukri, 37, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu selamat menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) semalam.
Katanya, anaknya menyertai program berkhatan di sebuah masjid di sini dengan bayaran RM50 seorang.
"Giliran anak saya berkhatan pada sebelah petang selepas mendapat nombor giliran ke-48 daripada 50 peserta. Prosedur itu dilakukan oleh doktor tetapi waris tidak dibenarkan masuk untuk melihat anak masing-masing.
"Doktor bertugas kemudian meminta saya membawa pulang anak selepas selesai berkhatan dan tidak lama selepas itu, bahagian luka pada alat sulit anak mengalami pendarahan," katanya ditemui di sini semalam.
Ahmad Mudzakkir mendakwa, dia kemudian memaklumkan perkara itu kepada doktor bertugas dan meminta supaya dia membawa anaknya ke sebuah klinik di sini.
Sewaktu sampai di klinik, doktor membuka semula jahitan dan menjahit semula pada bahagian luka itu tetapi masih berlaku pendarahan.
"Doktor itu kemudian meminta saya bawa anak ke sebuah lagi klinik di Jitra. Pada waktu itu, darah terus mengalir dan saya bimbang melihat keadaan anak yang semakin lemah, namun saya tetap ke klinik di Jitra itu kerana doktor memaklumkan ada mesin untuk berhentikan darah," dakwanya.
Di klinik berkenaan, doktor membuka semula jahitan dan meminta dia membawa anaknya ke bahagian kecemasan HSB.
Sampai HSB, doktor beritahu akan menjahit luka itu sebelum menjalani pembedahan segera pagi semalam.
"Alhamdulillah keadaan anak nampak baik dan masih dirawat di wad HSB namun setakat ini saya belum dimaklumkan lagi punca anak mengalami pendarahan teruk.
"Namun saya terkilan kerana anak saya terpaksa menahan kesakitan kerana luka pada alat sulitnya perlu dijahit dan dibuka jahitan berulang kali malah saya masih terngiang-ngiang suaranya meraung ketika jahitan dibuka dan dijahit semula," katanya.
Berikutan itu, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan