"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjenayah warga asing: Pelancong melencong

Muhaamad Hafis Nawawi dan Noor Hidayah Tanzizi
am@hmetro.com.my
GAMBAR JANAAN AI
GAMBAR JANAAN AI
Kuala Lumpur: Sebahagian penjenayah warga asing didapati memasuki negara ini sebagai pelancong sebelum licik melakukan kegiatan samun dan pecah rumah.

Bagi melancarkan 'misi' itu, mereka juga bekerjasama dengan rakyat tempatan termasuk dalam pencarian maklumat mangsa yang menjadi sasaran jenayah.

Mereka juga dikesan merancang dengan teliti dan menggunakan kumpulan 'profesional' untuk melakukan kegiatan terbabit dan hasil samun diseludup keluar menggunakan pasaran gelap.

Malah ada sindiket warga asing seperti dari Colombia turut menjual barangan kemas dan perhiasan di Malaysia sebelum hasil jualan digunakan bagi perbelanjaan sendiri atau dihantar kepada keluarga di negara asal.

Itu antara modus operandi licik sindiket warga asing profesional yang masuk ke negara ini sebelum melakukan jenayah termasuk mengupah rakyat tempatan bagi melancarkan operasi mereka.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, penjenayah warga asing yang terlibat dalam kes samun dan pecah rumah di Malaysia sering menggunakan modus operandi yang dirancang dengan teliti dan melibatkan kumpulan profesional.

Menurutnya, hasil samun biasanya dihantar ke negara asal mereka melalui penyeludupan atau saluran pasaran gelap.

"Namun, pihak berkuasa Malaysia sentiasa berusaha keras untuk menumpaskan sindiket ini melalui penguatkuasaan dan kerjasama antarabangsa.

"Bagi sindiket atau kumpulan pecah rumah yang melibatkan lain-lain warganegara asing seperti Colombia, kebiasaannya barang kemas dan perhiasan akan dijual atau digadai di Malaysia dan wang hasil jualan digunakan untuk perbelanjaan diri sendiri dan dihantar kepada ahli keluarga di negara asal," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro, baru-baru ini.

Razarudin berkata, hasil risikan dan siasatan dijalankan mendapati kebanyakan sindiket atau individu warga asing yang melakukan kegiatan pecah rumah di Malaysia akan bekerjasama dengan rakyat tempatan.

"Rakyat Malaysia yang terlibat dalam kegiatan pecah rumah kebiasaannya berperanan sebagai pemandu, pencari maklumat dan orang perantara untuk menjual barang kemas serta aksesori mewah.

"Selain itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berjaya menumpaskan beberapa kumpulan membabitkan warga asing seperti Geng Castello, Geng Bukyaw, Geng Aun selain Geng Putra yang aktif dalam penyeludupan migran," katanya.

Beliau berkata, polis turut berjaya menumpaskan Geng Latin yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan Geng Rantau Fiesta yang terbabit dalam samun serta pecah rumah.

"Terbaharu Geng Tebuk V6 yang aktif pecah premis perniagaan dan tebuk peti besi keselamatan turut berjaya ditumpaskan.

"Cabaran utama dihadapi oleh PDRM dalam membanteras jenayah yang melibatkan warga asing terutama pendatang asing tanpa izin termasuklah masalah pengesanan identiti, kesulitan dalam mengesan mereka yang berada di kawasan sukar dikenalpasti dan kerjasama antarabangsa yang terhad," katanya.

Razarudin berkata, beberapa faktor lain yang menyumbang kepada cabaran ini termasuk isu penguatkuasaan undang-undang, akses kepada maklumat risikan, kerjasama antarabangsa serta kekangan sumber.

"Bagaimanapun PDRM terus berusaha untuk memperbaiki penguatkuasaan melalui penggunaan teknologi, kerjasama antarabangsa dan operasi yang lebih bersepadu untuk mengekang masalah ini demi memastikan keselamatan negara lebih terjamin," katanya.

Tiada ulasan: