Hazira Ahmad Zaidi
bhnews@bh.com.my

Wan Jamal (kanan) menunjukkan tayar lori yang membawa muatan rokok seludup yang terkena tembakan dilepaskan anggota Kastam. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan terpaksa melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah lori membawa muatan rokok seludup bernilai RM186,000 sebelum berjaya menahan kenderaan berkenaan minggu lalu.
Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata sekitar jam 6.15 pagi Rabu lalu pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu melakukan intipan dan risikan dengan menggunakan motosikal dan menahan sebuah lori satu tan untuk pemeriksaan.
Katanya, ketika anggota memperkenalkan diri kepada pemandu lori berkenaan, secara tiba-tiba suspek yang berusia 20-an bertindak agresif dengan cuba merempuh pasukan operasi bagi meloloskan diri.
"Pasukan operasi kemudiannya melepaskan tiga das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan lori untuk mempertahankan diri.
"Suspek memandu lori dalam keadaan tayar yang pancit dan pasukan mengekorinya sejauh dua kilometer dari Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang sebelum suspek memberhentikan kenderaan dipandunya di tepi jalan Mat Kancil, Kampung Padang Jelapang, Pasir Mas dan melarikan diri ke kawasan semak," katanya pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu, di sini, hari ini.
Beliau berkata, usaha pihaknya untuk mencari dan mengesan pemandu lori di kawasan semak tidak berhasil.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati sebanyak 124 peti mengandungi 1,240,000 batang rokok putih dimuatkan di dalam lori berkenaan dengan anggaran nilai berjumlah lebih RM1 juta termasuk duti import.
"Rokok berkenaan dipercayai diambil dari pangkalan haram di tepi sungai di Tumpat berdasarkan kesan lumpur yang terdapat pada tayar lori itu dan ia berkemungkinan diseludup untuk pasaran tempatan di sekitar Kelantan," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 136 Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara yang tidak melebihi tempoh lima tahun atau didenda tidak melebihi RM500,000 atau kedua-duanya.
"Sehubungan dengan itu orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan