"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti Perlis: Ucapan Zahid Hamidi bernada takabur pada tahap tinggi

‘Malaikat pun lari malam’: Zahid mohon maaf atas khilaf, terlanjur kata

Malaysiakini 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memohon maaf atas kenyataannya yang mengibaratkan malaikat pun tidak mampu menjadi presiden parti itu, bagi menggambarkan kesukaran tugas tersebut.

Ahmad Zahid berkata, kenyataan itu diucapkannya dalam suasana penuh emosi namun mengakui perbandingan yang dibuatnya telah mencetuskan kekeliruan dan boleh disalah tafsir.

“Sebagai seorang Muslim dan pemimpin parti yang menjunjung tinggi nilai dan prinsip Islam serta tradisi keilmuan, saya dengan rendah hati memohon ampun pada Allah dan meminta maaf pada semua atas kekhilafan dalam keterlanjuran lafaz kata-kata ini.

“Mudah-mudahan Allah SWT membimbing setiap langkah dan tutur kita semua agar sentiasa berada dalam adab yang mulia, terpelihara akidah, dan berpaut teguh pada kebenaran yang hakiki,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, petikan ucapan Ahmad Zahid yang menyentuh perkara itu tular di media sosial.

Dia yang juga Timbalan Perdana Menteri mengimbas kembali saat selepas tewasnya BN dalam PRU 2018, dan berkata ramai yang bertindak lari daripada Umno hanya kerana sedikit ujian.

“Allah nak uji sedikit saja, dah lari. Itu belum diuji 47 pertuduhan, itu belum (ujian) dibekukan harta Umno, belum dirampas harta Umno.

“Ditakdirkan jika Allah memerintahkan malaikat untuk menjadi presiden (Umno), malaikat pun ‘lari malam’, tapi tidak Zahid Hamidi yang tetap mempertahankan Umno,” katanya seperti dirakam dalam video tersebut.

Hari ini, Zahid berkata dia menerima setiap teguran kepadanya dengan hati terbuka.

“Saya percaya, nilai seorang pemimpin bukan hanya terletak pada ketepatan tutur katanya, tetapi juga pada keikhlasannya untuk menginsafi, memperbaiki diri, dan belajar daripada kesilapan,” katanya lagi.

‘Tak sepatutnya diucapkan’

Terdahulu, ucapannya itu disanggah golongan agamawan, antaranya Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkan Zahid terlepas cakap dan berharap dia tidak memaksudkannya.

“Adalah tidak sepatutnya mengaitkan malaikat dalam ucapan politik yang seperti itu. 

“Ini satu anggapan yang sangat membimbangkan terhadap pegangan pengucapnya berkaitan dengan hakikat sebenar malaikat yang digambarkan oleh al-Quran,” ujar Mohd Asri di Facebook.

Dia berkata ucapan itu yang menggambarkan malaikat sendiri tidak sanggup memikul tugas tersebut walau diperintahkan Allah berbanding Zahid sendiri yang tidak lari daripada cabaran itu, menggambarkan “kesombongan diri yang sangat besar”.

“Ia satu bunyi ucapan yang bernada takabur pada tahap tinggi yang tidak sepatutnya diucapkan. 

Ia bagaikan cabaran kepada Allah, bahawa jika Allah perintah pun malaikat tidak berkemampuan sepertinya,” katanya lagi.

Menurut Mohd Asri lagi, ucapan itu juga boleh difahami bahawa jika malaikat yang dipilih Allah untuk memimpin partinya, malaikat pun lari dan gagal, tidak seperti Zahid.

Mengenali Zahid, katanya lagi, dia percaya ahli Parlimen Bagan Datuk itu bukan berniat mempersendakan Allah atau meremehkan kedudukan malaikat, namun mungkin hanya terlepas cakap.

“Demikianlah akibatnya jika agama dijadikan bahan dalam berpolitik. Maka, saya mencadangkan dia membetulkan kembali ucapan tersebut. Dia hendaklah sedikit tawaduk dengan keupayaan dirinya dan pohonlah kekuatan daripada Allah,” katanya lagi.

‘Angkat diri, penuh kesombongan’

Teguran sama juga dilontarkan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang menyarankan agar semua pihak, khususnya pemimpin parti politik, agar lebih berhati-hati apabila menyampaikan ucapan, terutamanya apabila menyentuh nama Allah dan malaikat. 

Ketuanya, Ahmad Yahaya menyifatkan ucapan Zahid sebagai ucapan yang mengangkat diri dengan penuh kesombongan, walau pada hakikatnya dia tidak layak untuk membuat perbandingan sedemikian.

“Ia memberikan gambaran dan perspektif yang negatif terhadap zat Allah yang maha bijaksana, maha mengetahui segala-galanya dan maha mentadbir alam ini. Ucapan tersebut juga memberikan konotasi negatif terhadap peranan malaikat yang merupakan golongan yang taat terhadap apa jua perintah-Nya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

DUPP turut menyeru Ahmad Zahid agar beristighfar dan memohon keampunan daripada Tuhan jika dia tidak sengaja membuat ucapan itu.

Tiada ulasan: