Bernama
Enam beranak termasuk seorang bayi sebelum itu gagal dihubungi oleh ahli keluarga lain sejak Sabtu.

Bomba berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kereta terjatuh dalam Sungai Korok dekat Jitra sebelum menemukan semua mangsa pagi tadi. (Gambar JBPM)
ALOR SETAR: Mayat enam sekeluarga dipercayai hilang sejak Sabtu lalu ditemukan di dalam sebuah kereta di Sungai Korok dekat Jitra, hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Ahmad Aminuddin Abd Rahim, berkata mayat terdiri seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak dan seorang bayi.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kereta terjatuh di dalam sungai terbabit pada 8.38 pagi tadi.
“Dimaklumkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Sedan berada di dalam sungai dan terdapat enam mangsa, iaitu seorang lelaki, seorang wanita, tiga kanak-kanak dan seorang bayi di dalam kenderaan itu.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan dan proses pengecaman mangsa dilakukan oleh waris mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bernama melaporkan enam beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi ahli keluarga lain sejak Sabtu.
Kehilangan Mohd Azim Ezzat Ishak, 32, isterinya, Nurul Hidayah Khalijah Razman Effendy, 31, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga sembilan tahun disedari apabila tidak pulang ke rumah di Jerlun selepas bermalam di rumah ahli keluarga lain di Taman Aman, Jitra.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan