Buletin TV3

Warga Myanmar, Phyo Tha Zin, dipenjara 11 tahun selepas mengaku bersalah membunuh rakan wanitanya. – Foto NSTP
MUAR: Seorang wanita warga Myanmar dipenjara 11 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku membunuh rakannya dengan menjerut leher mangsa menggunakan tuala di Batu Pahat, enam tahun lalu.
Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap Phyo Tha Zin, 31, selepas mengambil kira pengakuan dibuat dan mensabitkan kesalahan mengikut pertuduhan pilihan.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang membuat pakaian itu didakwa membunuh rakan wanita, Sakawar Lin yang ketika itu berusia 23 tahun di rumah pekerja, Taman Budaya, Batu Pahat antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan juga denda, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, polis menerima laporan berhubung seorang wanita ditemukan mati disyaki dibunuh dalam sebuah rumah didiami pekerja kilang warga asing pada pagi hari kejadian.
Siasatan mendapati, tertuduh bertengkar dengan mangsa rakan senegaranya selepas mendapat tahu wanita itu berkenalan dengan lelaki warga Bangladesh.
Pertengkaran berlanjutan dengan tertuduh mengambil tuala lalu menjerut leher mangsa hingga tidak sedarkan diri.
Selepas kejadian, tertuduh meninggalkan mangsa dalam bilik dan ke sebuah pusat beli belah tidak jauh dari rumahnya.
Tertuduh kemudian menghubungi rakan serumahnya untuk memeriksa keadaan mangsa yang ketika itu terbaring tidak sedarkan diri di katil.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nabihah Mohd Nor manakala tertuduh diwakili peguam, Ramesh Vasan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tindakan susulan selepas selesai hukuman penjara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan