Malaysiakini
Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, melancarkan petisyen dalam talian bagi mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara.
“Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, menyeru seluruh warganegara untuk bersama-sama menyokong tuntutan mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara kita,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Rafizi turut memberi amaran bahawa isu yang dibawa itu bukan sahaja melibatkan sistem perundangan, bahkan boleh mengancam asas demokrasi negara.
“Semua rakyat, tanpa mengira latar belakang politik perlu menandatangani petisyen ini dan memberi perhatian kepada isu yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.
“Kongsi petisyen ini dengan seberapa ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan terkini badan kehakiman,” katanya lagi.
Petisyen tersebut dilancarkan sebagai usaha mengumpul tekanan awam untuk mempertahankan prinsip pengasingan kuasa dan keluhuran undang-undang.
Ia boleh ditandatangani melalui pautan yang disediakan:
Pada Isnin lau, sembilan ahli parlimen PKR – diketuai oleh Rafizi– menggesa penubuhan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dan meminta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pembaharuan institusi menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.
Mereka menggesa RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan mengabaikan syor Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) sebelum persaraan bekas Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, termasuk pencalonan bagi jawatan ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Mereka turut membangkitkan kebimbangan bahawa JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lalu tanpa notis wajib 10 hari untuk mencadangkan calon baru.
Petisyen dalam talian itu menyatakan:
Kami, rakyat Malaysia yang prihatin, menyeru seluruh warganegara untuk bersama-sama menyokong tuntutan mempertahankan integriti dan kebebasan institusi kehakiman negara kita.
Pada 7 Julai 2025, seramai sembilan ahli parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersama yang membangkitkan kebimbangan serius terhadap kelewatan dalam proses pelantikan jawatan-jawatan tertinggi dalam badan kehakiman.
Perkembangan mutakhir telah mengundang pelbagai spekulasi yang boleh mencemarkan kredibiliti kerajaan serta melunturkan keyakinan rakyat kepada kebebasan institusi kehakiman pada masa akan datang.
Antara maklumat yang kini berlegar dalam pengetahuan awam:
1) Bahawa bagi pelantikan hakim-hakim baru (sama ada bagi mahkamah tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan), pencalonan yang telah dihantar oleh JAC kepada kerajaan tidak diambil tindakan pada kadar yang sewajarnya, yang menyebabkan kekosongan menjadi mendesak.
2) Bahawa pencalonan bagi kekosongan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan telah pun diputuskan oleh JAC sebelum persaraan Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri sebelum ini, tetapi pelantikan tidak dibuat sehinggalah menyebabkan kekosongan yang ada sekarang.
3) Bahawa mesyuarat JAC telah dipanggil pada hari Jumaat lepas (4 Julai 2025) tanpa mematuhi keperluan notis 10 hari, dengan tujuan untuk membuat pencalonan semula bagi jawatan-jawatan yang kosong.
4) Bahawa pada satu mesyuarat JAC yang lepas, seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil untuk memberi penjelasan mengenai tuduhan cuba mempengaruhi keputusan satu kes dan pertukaran hakim yang tular melalui satu laporan polis yang dibuat oleh pegawainya.
Lebih membimbangkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 8 Julai 2025 telah memberi pengesahan tidak langsung kepada perkara-perkara yang telah dibangkitkan:
Bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan ada pencalonan daripada JAC yang tidak dipertimbangkan atau tidak diambil tindakan;
Bahawa mesyuarat JAC yang terkini dipanggil tanpa mematuhi notis 10 hari seperti kehendak pentadbiran;
Bahawa tuduhan seorang hakim Mahkamah Persekutuan terlibat dalam mempengaruhi keputusan mahkamah dan penugasan semula hakim ada dibincangkan di dalam satu mesyuarat JAC.
Fakta-fakta ini mewajarkan kebimbangan sebahagian pengamal undang-undang dan masyarakat yang melihat kemelut institusi kehakiman sekarang sebagai mirip kepada skandal video VK Lingam dalam tahun 2007 dahulu, iaitu cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes-kes mahkamah.
Sementara kami sedia maklum bahawa:
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tanggungjawab menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah kuasa perdana menteri dan kuasa JAC adalah mengemukakan senarai calon yang telah dipertimbangkan dan ditapis kepada perdana menteri.
Keadaan apabila ada kekosongan mendesak dari mahkamah tinggi ke Mahkamah Persekutuan akibat kelewatan pelantikan membayangkan perdana menteri tidak bersetuju dengan calon-calon yang telah dikemukakan JAC.
Pengasingan kuasa mestilah dipertahankan. Institusi kehakiman bukan sekadar perlu bebas, tetapi perlulah dilihat bebas daripada pengaruh eksekutif.
Oleh itu, kami menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong tuntutan berikut:
a. Penubuhan RCI untuk menyiasat semua dakwaan dan insiden yang yang berlegar, seperti dihuraikan dalam (1) hingga (4);
b. Siasatan dan prosiding oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi) dijalankan, termasuk memanggil perdana menteri untuk memberi keterangan;
c. Pelantikan mengisi kekosongan jawatan-jawatan utama dalam institusi kehakiman sewajarnya berdasarkan prosiding dan pencalonan JAC yang telah dibuat sebelum ini. Sebarang pencalonan baru hendaklah dibuat selepas perkara (a) dan (b) berlaku; iaitu setelah tuduhan mengenai cubaan mempengaruhi lantikan hakim dan keputusan kes telah dirungkai;
d. Menuntut ahli-ahli parlimen tanpa mengira parti politik untuk menzahirkan sokongan terhadap perkara (a), (b) dan (c).
Kami menyeru semua rakyat – tanpa mengira latar belakang politik – untuk menandatangani petisyen ini dan memberi perhatian kepada isu ini yang mempunyai kesan besar kepada rakyat dan negara pada masa hadapan.
Kongsi petisyen ini dengan seberapa ramai rakyat Malaysia yang prihatin dengan perkembangan terkini badan kehakiman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan