Malaysiakini
Badan Peguam Malaysia hari ini mengumumkan perarakan mereka untuk menuntut kebebasan badan kehakiman dan badan perundangan negara akan dilangsungkan pada minggu depan.
Naib presidennya, Anand Raj, memberitahu Malaysiakini bahawa notis mengenai perkara itu akan dikeluarkan esok.
“Perarakan akan diadakan pada 14 Julai.
Kami akan menghantar notis dan menyatakan pendirian kepada ahli kami, dan apabila hal tersebut dimuktamadkan dan notis dikeluarkan, anda akan diberikan salinannya.
"Notis itu akan keluar esok," katanya.
Kali terakhir peguam mengadakan Walk for Judicial Independence ialah pada 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Ghazali, yang dianggap sebagai campur tangan terhadap kebebasan badan kehakiman serta melanggar prinsip asas pengasingan kuasa.
Badan Peguam – dalam pekeliling yang dikeluarkan kepada peguam minggu lalu – menggesa mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan kekosongan jawatan hakim.
Ia berlaku ketika ketegangan semakin meningkat pada penghujung tempoh khidmat Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara dan kekosongannya belum diisi.
Menurut pekeliling bertarikh 1 Julai yang dilihat Malaysiakini, EGM itu dijadualkan berlangsung pada 26 Julai ini di Menara Matrade Kuala Lumpur, bermula dari 10 pagi.
Agenda mesyuarat itu ialah "untuk membincangkan beberapa perkara dan, jika difikirkan sesuai, untuk meluluskan satu atau lebih resolusi berkenaan dengan kekosongan dalam badan kehakiman, kedudukan penyandang jawatan, dan proses pelantikan, kesinambungan dalam kepimpinan badan kehakiman, dan kebebasan badan kehakiman, secara amnya."
Tengku Maimun menamatkan khidmatnya sebagai ketua hakim pada 1 Julai lalu. Abang Iskandar Abang Hashim yang berkhidmat sebagai Presiden Mahkamah Rayuan pula bersara mulai 3 Julai.
Tidak sekadar itu. Untuk tempoh beberapa bulan akan datang, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abdul Rahman Sebli; dan tiga hakim Mahkamah Persekutuan – Nallini Pathmanathan, Zabariah Yusof, dan Hanipah Farikullah – pula akan bersara.
Rahman, Zabariah, dan Hanipah telah pun dilanjutkan tempoh mereka selama enam bulan.
Hasnah secara rasmi mememangku jawatan dan tugas Ketua Hakim Negara mulai 3 Julai lalu dan dilaporkan memanggil mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) pada 4 Julai berikutan persaraan mandatori Tengku Maimun dan Abang Iskandar.
JAC ialah badan yang bertanggungjawab untuk mengesyorkan calon untuk pelantikan atau kenaikan pangkat ke Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan mahkamah tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan