Agensi

NAMIKO Takaba. FOTO QQ.com
Tokyo: Seorang suami yang bersedih di Jepun membayar sewa untuk sebuah "rumah berhantu" yang kosong, tempat isterinya dibunuh selama 26 tahun dengan harapan dapat membongkar petunjuk mengenai pembunuhnya, lapor South China Morning Post.
Harapannya akhirnya menjadi kenyataan apabila suspek menyerah diri kepada polis di Nagoya, tengah Jepun, baru-baru ini. Suspek perempuan adalah rakan sekelas si suami semasa di sekolah menengah dan pernah menaruh hati terhadap lelaki berkenaan.
Kes itu menarik perhatian umum selepas dilaporkan oleh saluran berita NHK pada awal November lalu.
Pembunuhan berlaku pada 13 November 1999 apabila suri rumah, Namiko Takaba ditemukan mati di rumahnya. Dia ditikam beberapa kali di leher menggunakan objek tajam, manakala anak lelakinya yang berusia dua tahun dibiarkan tanpa sebarang kecederaan di sisinya.
Pihak berkuasa mengerahkan 100,000 pegawai polis untuk menyiasat kes itu dan 5,000 orang ditemu bual, namun tidak berhasil. Satu-satunya petunjuk yang diperoleh penyiasat ialah suspek adalah seorang wanita dengan darah jenis B, ketinggian kira-kira 1.6 meter dan memakai kasut bersaiz 24 sentimeter (sm).
Polis juga menawarkan ganjaran bagi membantu pemburuan pembunuh itu. Dengan harapan mengekalkan keadaan lokasi jenayah, suami mangsa, Satoru Takaba membiarkan hartanah itu kosong selama 26 tahun lalu sementara dia dan anaknya tinggal di tempat lain.
Jumlah sewa yang dibayarnya untuk flat kosong itu sepanjang tempoh itu ialah 22 juta yen (kira-kira RM600,600). Dia meninggalkan setiap barang di dalam rumah dan tidak membersihkan kesan darah bagi menunggu perkembangan dalam siasatan, katanya kepada media.
Tahun lalu, polis membuka semula siasatan dan memfokuskan perhatian kepada individu yang berkaitan dengan keluarga itu. Pada 30 Oktober lalu, Kumiko Yasufuku, 69, menyerah diri kepada polis.
Yasufuku pernah ditemu bual sebelum ini tetapi enggan memberikan sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Polis mengesahkan DNA yang diekstrak daripada darah yang tertinggal di lokasi kejadian sepadan dengan DNA miliknya dan dia ditahan kerana disyaki membunuh.
"Sejak dua dekad lalu, saya bimbang setiap hari. Saya tidak berani menonton laporan berita mengenai kes ini. Saya berasa cemas dan tertekan pada 13 November setiap tahun," kata Yasufuku kepada polis.
Takaba pula berkata, dia terkejut mendengar nama suspek. "Saya tidak pernah menjangka itu adalah dia. Saya fikir pembunuh itu sudah meninggalkan Nagoya tetapi rupa-rupanya dia sentiasa tinggal berhampiran rumah sewa saya," katanya.
Pembunuh itu adalah rakan sekelas Takaba di sekolah menengah dan pernah menghantarnya coklat Hari Valentine dan surat meluahkan perasaan tetapi Takaba menolaknya.
Takaba menambah bahawa rakan-rakannya mengucapkan tahniah kepadanya selepas suspek ditangkap. "Jadi, membayar sewa rumah itu selama bertahun-tahun sangat berbaloi," katanya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan