Agensi

Nicholas Martin, 63, dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas cubaan membunuh isterinya dengan membakar rumah wanita itu. Foto Polis Greater Manchester
London: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun selepas cubaan membunuh isterinya dengan membakar rumah wanita itu, lapor Mirror UK.
Nicholas Martin, 63, dipercayai menghendap isterinya, Emma, 52, selama beberapa hari sebelum menuang petrol melalui peti surat rumah dan menyalakan api ketika wanita itu sedang tidur.
Mangsa yang juga pegawai kanan di Jabatan Hasil Diraja terpaksa melarikan diri melalui tingkap bilik tidur dan mengalami patah pada kedua-dua buku lali serta tulang belakang.
Martin yang melarikan diri ke Lake District ditahan keesokan harinya.
Dalam pada itu, Mahkamah Minshull Street Crown mendapati, Martin bersalah atas tuduhan cubaan membunuh dan menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun.
Hakim Maurice Greene menyifatkan, tindakan itu sebagai serangan kejam, dirancang dan disengajakan ketika mangsa berada dalam keadaan paling lemah.
Emma, yang kini masih menggunakan tongkat, turut kehilangan kucing kesayangannya, TC, dalam kebakaran berkenaan.
Media turut melaporkan, pasangan itu berkahwin pada 2019 selepas berkenalan melalui aplikasi janji temu, namun Emma pernah diserang suaminya ketika mereka bercuti di Scotland pada 2021.
Selepas sering mengalami imbasan semula kejadian itu, Emma membuat laporan polis tahun lalu dan Martin dibebaskan dengan jaminan serta dilarang menghubunginya.
Bagaimanapun, pada 21 Oktober tahun lalu, Martin kembali ke rumah itu, menuang petrol melalui peti surat dan menyalakan api.
Emma kemudian terjaga apabila mendengar bunyi kebakaran dan terpaksa terjun dari tingkat atas untuk menyelamatkan diri.
Susulan itu, Martin ditahan di sebuah hotel di Windermere dan juri kemudian mendapati dia bersalah atas tuduhan cubaan membunuh.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan