Agensi

RENO Syahputra Dewo (kanan) dan Muhammad Farhan Hamid FOTO X/@Indopopbase
Jakarta: Misteri kehilangan dua lelaki selepas menyertai tunjuk perasaan di Markas Brimob Kwitang, Jakarta Pusat, akhir Ogos lalu, akhirnya terungkai, lapor Kompas.
Ia apabila rangka manusia yang kemudian dikenal pasti sebagai Reno Syahputra Dewo dan Muhammad Farhan, ditemukan di bangunan bekas pejabat Astra Credit Companies (ACC), Kwitang, Senen, Jakarta Pusat, pada 30 Oktober lalu.
Polis mengesahkan rangka berkenaan adalah dua individu itu berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
Pada 12 September lalu, Suruhanjaya bagi Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS) merekodkan bahawa Reno dan Farhan masih belum ditemukan sejak gelombang tunjuk perasaan pada akhir Ogos 2025.
Reno dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu dengan lokasi terakhir di Markas Brimob Kwitang.
Siasatan terhadap kehilangan Reno dan Farhan terhenti selama dua bulan sehingga akhirnya kedua-dua rangka manusia itu ditemukan di tingkat dua Bangunan ACC Kwitang, pada 30 Oktober lalu.
Rangka itu ditemukan oleh pasukan juruteknik bangunan yang sedang memeriksa struktur untuk pengubahsuaian selepas kebakaran semasa tunjuk perasaan pada Ogos lalu.
Kedua-dua mayat tidak dapat dikenal pasti kerana sebahagian besar tubuh mereka hangus. Ketika ditemukan, mereka tertimbus di bawah runtuhan siling yang terbakar.
Rangka yang ditemukan dua bulan selepas insiden kebakaran itu kemudian dikaitkan dengan rekod KontraS mengenai dua penunjuk perasaan yang masih dilaporkan hilang.
Keluarga Reno dan Farhan kemudian menjalankan ujian DNA di Makmal Forensik Polis (Polri) yang membawa kepada pengesahan identiti mangsa.
Dalam pada itu, BBC melaporkan doktor forensik yang melakukan bedah siasat merumuskan bahawa sebab kematian mangsa adalah kebakaran dan tidak ditemukan kesan kecederaan tumpul pada tengkorak atau tanda-tanda jatuh atau terjatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan