Reuters
Richmond, Virginia: Seorang guru di Virginia yang ditembak oleh pelajarnya berusia enam tahun pada 2023 memperoleh pampasan AS$10 juta (kira-kira RM47 juta), pada 6 November.
Ia sekali gus mengakhiri tuntutan mahkamah kecuaian yang difailkannya terhadap seorang pentadbir sekolah.
Abigail Zwerner mendakwa penolong pengetua di sekolah rendah Newport News tempat beliau pernah mengajar mengabaikan beberapa laporan mengenai kewujudan senjata api berada di kawasan sekolah yang dipercayai dimiliki oleh kanak-kanak lelaki yang menembaknya pada Januari 2023.
Menurut polis, kanak-kanak lelaki itu mengambil sepucuk pistol 9mm dari rumahnya dan membawanya ke sekolah di dalam beg galasnya.
Dia kemudian mengeluarkan pistol berkenaan di dalam bilik darjah dan melepaskan satu das tembakan ke arah Zwerner, mencederakannya guru itu di tangan dan dada.
Zwerner yang sempat memindahkan murid-murid keluar dari bilik darjahnya menjalani lima pembedahan pada tangan dan peluru berkenaan masih berada di dadanya.
Peguam yang mewakili Ebony Parker, bekas penolong pengetua di Sekolah Rendah Richneck, lokasi tembakan itu berlaku, berhujah anak guamnya tidak dapat menjangkakan kejadian tembakan itu.
Sementara itu, peguam kepada Zwerner berhujah bahawa Parker dimaklumkan mengenai laporan daripada rakan sekelas yang mendakwa kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu membawa pistol ke sekolah namun, dia gagal mengambil tindakan segera terhadap maklumat itu.
Parker dijadualkan menghadapi perbicaraan jenayah pada Disember atas pertuduhan penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Deja Taylor, ibu kepada kanak-kanak lelaki yang melepaskan tembakan itu dijatuhi hukuman penjara 21 bulan pada 2023 atas kesalahan memiliki senjata api dan membuat kenyataan palsu semasa membeli senjata api.
Perbicaraan ini berlangsung bersama beberapa kes serupa yang membabitkan ibu bapa penembak di sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan