Noor Hidayah Tanzizi

Tangkap layar daripada video tular menunjukkan lelaki (kanan) dipercayai membuka beg sandang wanita dan mengambil dompetnya yang mempunyai wang tunai dan dinar emas.
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan kecurian membabitkan seorang wanita di Bukit Bintang, di sini, seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam, berkata laporan berkenaan diterima pada 10 Oktober lalu.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan seorang wanita mendakwa kehilangan wang tunai dan dua syiling dinar emas selepas dompetnya dicuri penyeluk saku ketika berada di kawasan Bukit Bintang.
Rakaman berdurasi pendek itu menunjukkan mangsa sedang berjalan sambil memakai beg sandang belakang sebelum seorang lelaki dilihat membuka beg berkenaan dan mengambil dompetnya, menyebabkan kerugian dianggarkan RM8,200 (RM3,200 wang tunai dan dua dinar emas).
Video yang dimuat naik di TikTok itu meraih lebih 2.4 juta tontonan, 56,100 tanda suka dan 2,856 komen daripada pengguna media sosial.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan