"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wan Saiful: Muhyiddin hari ini bukan seperti dulu

Malaysiakini 

Bekas ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan, mendakwa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin telah tersasar daripada prinsip integriti dan akauntabiliti yang pernah ditetapkannya.

Wan Saiful berkata, apabila dia meletakkan jawatan sebagai ketua penerangan parti pada 2023 selepas didakwa melakukan rasuah, Muhyiddin ketika itu menyokong langkah tersebut.

Ahli parlimen Tasek Gelugor itu berkata, dia bimbang tindakan itu akan menjadi duluan, kerana dia tahu Muhyiddin sendiri bakal didakwa beberapa minggu kemudian.

"Tan Sri Muhyiddin kata kepada saya, kalau sekiranya dia didakwa, inilah benchmark yang dia nak pastikan ada dalam parti kita, iaitu kalau dia didakwa, dia pun akan melepaskan jawatan dan bercuti," dedahnya dalam temu bual podcast KiniTV, "Explain Sikit, Kini!".

Bagaimanapun kata Wan Saiful, Pengerusi PN itu tidak berundur apabila didakwa di mahkamah, mahupun apabila timbul persoalan mengenai keberadaan menantunya.

Adlan Berhan, menantu Muhyiddin dan peguamnya Mansoor Saat kini dikehendaki oleh pihak berkuasa berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek untuk sebuah kementerian.

"Tan Sri Muhyiddin hari ni bukan lagi Tan Sri Muhyiddin sebelum ini dan sebab tu saya selalu kata, kita jangan nafikan jasa beliau sebelum ni. Tetapi kita cakap ini moving forward, bergerak ke depan untuk parti.

"Parti ini tidak dibina untuk individu. Tun Mahathir (Mohamad) meninggalkan Bersatu dan bersatu terus hidup. Dan mengekalkan penghormatan kita kepada Tun. Tan Sri pun kena berjiwa besar sikit dalam hal ni. Dan fikir, sama ada dia aset atau liabiliti kepada parti," katanya.

Bukan nafikan jasa Muhyiddin

Turut sama dalam temu bual itu ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menjawab kritikan terhadapnya daripada bahagian Bersatu Machang, yang mendakwa dia tidak mengenang budi Muhyiddin.

"Kami bukan menafikan jasa dan sumbangan beliau. Kami bersyukur dan berterima kasih kepada beliau. Cuma, kita sudah sampai di persimpangan. Mana lebih penting? Parti atau individu?

"Sekarang kita bercakap dengan survivor parti. Ini bukan syarikat sendirian berhad yang mana Tan Sri Muhyiddin 100 peratus shares. Boleh buat sesuka hati,"katanya.

Dia juga mendakwa bahawa pemimpin-pemimpin parti telah "dibungkam", tanpa platform yang sesuai untuk menyuarakan kebimbangan kerana mesyuarat majlis tertinggi tidak diadakan.

"Kami ni digam. Tak dibenarkan bercakap. Tak nak buat mesyuarat. Buat mesyuarat dengan parti-parti nyamuk boleh. Dengan mesyuarat majlis tertinggi tak nak buat. Jadi di mana forum kami nak bercakap? Nak jumpa Tan Sri tak boleh," luahnya.

Wan Ahmad Fayhsal juga tidak menolak kemungkinan Muhyiddin keberatan untuk melepaskan jawatan parti kerana masih terkesan dengan cara dia dijatuhkan ketika menjadi perdana menteri.

Sokongan terhadap Hamzah

Pada 14 Oktober, Lembaga Disiplin Bersatu menggantung Wan Fayhsal selama satu penggal dan memecat Wan Saiful, serta empat ketua bahagian parti itu.

Keputusan itu diambil selepas mendapati pemimpin-pemimpin tersebut melanggar perlembagaan parti dan kod etika serta tata kelakuannya.

Walaupun lembaga itu tidak memperincikan pelanggaran tersebut, dipercayai bahawa Wan Saiful dan empat ketua bahagian itu dipecat berkaitan cubaan untuk mendesak Muhyiddin menyerahkan kepimpinan parti kepada timbalannya, Hamzah Zainudin melalui pengumpulan akuan bersumpah.

Ketika temu bual, Wan Saiful dan Wan Fayhsal menyuarakan sokongan kuat terhadap Hamzah dan menyifatkannya sebagai pemimpin yang lebih menyatukan parti serta berpandangan ke hadapan berbanding Muhyiddin.

Wan Saiful juga menegaskan bahawa Muhyiddin harus memberikan contoh dengan menyokong bakal pengganti dalam partinya.

"Tapi nampaknya cara Tan Sri Muhyiddin ni ialah kalau aku tak dapat, biar semua tak dapat pun tak apalah. Itu seolah-olah yang ditunjukkan. Dan ini mengecewakan ramai pihak," katanya.

Wan Fayhsal, yang pernah bekerja dengan Hamzah ketika mengetuai Pemuda Bersatu, berkata Hamzah selaku setiausaha agung parti ketika itu berjaya mengisi kekosongan kepimpinan dengan berkesan selepas Muhyiddin dijatuhkan sebagai perdana menteri.

"Ketika itu semangat Bersatu jatuh kerana kita tiada perdana menteri. Dan minta maaf cakap kami ada timbalan presiden ketika itu, seorang yang tidak mempunyai watak yang menyakinkan.

"Jadi setiausaha agong (Hamzah) yang memikul beban menjadikan Bersatu sebuah parti yang dihormati. Dan saya lihat cara beliau bekerja, seorang yang profesional, berakhlak tinggi, gantleman bukan macam Pemuda Bersatu sekarang ini," katanya.

Wan Fayhsal juga menyentuh "hubungan istimewa" antara Muhyiddin dengan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali - hubungan yang dipercayai olehnya dan Wan Saiful telah menjejaskan parti.

Wan Fayhsal berpendapat keakraban antara kedua-duanya bermula sejak Langkah Sheraton pada 2020, apabila Azmin berpaling tadah dari PKR bersama 10 ahli Parlimen lain, sekali gus mencetuskan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dan membuka jalan bagi Bersatu naik ke tampuk kuasa.

Namun katanya, kaitan Azmin dalam skandal video seks 2019 telah menjejaskan kredibilitinya sehingga ke tahap di mana dia kini harus dianggap sebagai liabiliti.

"Selepas skandal video tersebut di Sandakan, kita tak boleh terima orang macam ni sebagai pemimpin utama parti. Sebab itu beliau ditolak di Gombak (pada PRU-15). Kerana pengundi-pengundi PN ni konservatif," kata Wan Fayhsal lagi.

Wan Fayhsal membandingkannya dengan Hamzah, yang didakwa memainkan peranan penting dalam mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen Umno yang membantu Muhyiddin meraih jawatan perdana menteri pada 2020.

"Tetapi berbeza pula sekarang berlaku, Tan Sri Muhyiddin dan Azmin nampak lebih akrab, berbeza dengan Hamzah. Itu yang kami persoalkan. Mengapa dwistandard? Hamzah yang memikul parti selepas kejatuhan Muhyiddin, menguruskan kewangan, strategi, dan kepimpinan,"katanya.

‘Ahli Bersatu cenderung pilih Hamzah’

Menurutnya kejayaan Hamzah dalam meyakinkan PAS untuk kekal dalam PN membantu gabungan itu beraksi dengan baik dalam pilihan raya umum 2022.

"Kepimpinan dan kredibiliti Hamzah memungkinkan perkara itu, tetapi sesetengah pihak dalam lingkungan Muhyiddin nampaknya melihatnya sebagai saingan yang perlu ditanam,"ujarnya.

Wan Fayhsal berkata ahli Bersatu lebih cenderung memilih Hamzah berbanding Azmin kerana latar belakang mereka.

"Kebanyakan ahli Bersatu adalah akar umbi bekas Umno - nasionalis Melayu-Muslim. Adalah wajar mereka berasa lebih sehaluan dengan Hamzah, yang berkongsi latar belakang itu, berbanding Azmin, yang akarnya dalam politik pelbagai kaum PKR," katanya.

Dia menggambarkan Azmin sebagai "elit" dan "agak primadona", dengan mengimbas kembali bagaimana bekas menteri itu pernah meninggalkan kumpulan WhatsApp koordinasi Covid-19 selepas bertengkar dengan menteri lain mengenai keputusan perintah berkurung.

"Hamzah tidak seperti itu. Beliau seorang budiman, mudah didekati, murah hati dengan masa dan sumbernya. Orang ramai boleh mendekatinya dengan mudah. Itulah sebabnya beliau dilihat sebagai calon yang sesuai untuk memimpin Bersatu dan PN," tambah Wan Fayhsal.

Tiada ulasan: