Anne Muhammad
PETALING JAYA: Tindakan membankrapkan pesalah rasuah mampu memulihkan keyakinan rakyat, kata sebuah pertubuhan antirasuah yang menegaskan langkah itu mesti dilaksanakan secara adil dan tidak selektif.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata pendekatan itu menghantar mesej tegas sesiapa yang menyeleweng wang rakyat akan hilang sepenuhnya hasil jenayah mereka, tanpa pengecualian.
“Pendekatan ini juga membawa keadilan restoratif, bukan sekadar menghukum tetapi mengembalikan hak rakyat.
“Ia lebih berani berbanding hukuman tradisional yang hanya memenjarakan pesalah tanpa menuntut semula harta yang dicuri,” katanya kepada FMT.
Jais mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang memberi amaran perasuah perlu dibankrapkan supaya mereka tidak dapat menikmati harta yang diperoleh secara haram.
Menurutnya, usaha pemulihan aset akan dipertingkatkan tahun depan selaras strategi SPRM mengurangkan ketirisan ke tahap maksimum dan memastikan perasuah tidak menikmati hasil jenayah mereka.
Mengulas lanjut, Jais berkata langkah itu sejajar dengan prinsip antirasuah antarabangsa yang menegaskan hukuman tidak sepatutnya terhenti pada pemenjaraan semata-mata, sebaliknya mesti memastikan pesalah kehilangan semua keuntungan haram.
“Negara dapat mengembalikan hak rakyat tanpa bergantung semata-mata kepada hukuman jenayah,” katanya.
Beliau berkata amalan global menunjukkan pemulihan aset memberikan impak besar dalam usaha membanteras rasuah, termasuk di negara seperti Switzerland dan United Kingdom, di mana pendekatan itu digunakan untuk menekan elit politik dan kleptokrat.
Bagaimanapun, Jais mengingatkan tindakan itu akan dilihat sebagai selektif jika hanya dikenakan terhadap individu tertentu sebaliknya menyeluruh tanpa mengira batas pangkat atau jawatan.
Pakar Shahul Hamid Abd Rahim berkata tindakan memulihkan aset dan membankrapkan perasuah disifatkan mekanisme pencegahan yang sangat berkesan kerana menghapuskan sepenuhnya motif jenayah.
Beliau berkata pengalaman antarabangsa menunjukkan kecenderungan melakukan rasuah menurun secara ketara apabila aset haram berjaya dikesan, dibekukan dan dirampas.
“Langkah ini juga mengurangkan keupayaan perasuah untuk meneruskan operasi atau mempengaruhi saksi, khususnya dalam kes berprofil tinggi.
“Ia menetapkan syarat yang jelas bahawa tiada sesiapa boleh menikmati walau satu sen hasil rasuah, sekali gus mengurangkan risiko jenayah,” katanya.
Bagaimanapun, Shahul berkata pihak berkuasa bakal berdepan cabaran untuk mengesan dan membawa pulang aset, terutama yang disimpan di luar negara kerana struktur kewangan kompleks seperti dana amanah, proksi dan akaun luar pesisir.
“Oleh itu, kita memerlukan kepakaran tinggi dalam forensik kewangan dan siasatan kewangan untuk memastikan semua aset ini dapat dikembalikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan