"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Anwar abai sentimen rakyat, hantar isyarat salah

Malaysiakini 

Rafizi Ramli mendakwa rakyat negara ini beranggapan rombakan kabinet yang baru dilaksanakan oleh Anwar Ibrahim tidak membawa apa-apa makna apabila hasrat majoriti mereka mahu melihat perdana menteri membawa perubahan pada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak berlaku.

Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berpendapat, rakyat hanya teruja untuk melihat perubahan di KPM dan menyaksikan Fadhlina Sidek digantikan dengan orang lain.

Malah, dakwa Rafizi, tokoh yang dibawa menggantikan portfolionya di Kementerian Ekonomi tidak begitu ditunggu-tunggu.

"Yang orang paling teruja dan menunggu hanyalah satu nama Fadhlina... yang itu yang orang tunggu dalam kalangan rakyat biasa yang tidak partisan.

“Kerana KPM itu sangat penting, malah soal siapa jadi menteri ekonomi orang tak tumpu sangat pun.

"Apabila rombakan ini tak melibatkan Fadhlina langsung dan KPM tak disentuh langsung, bagi sayalah, itu secara automatik menjadi petanda bahwa pandangan rakyat biasa rombakan ini tak akan ada kesan apa-apa sebab yang mereka tumpu yang itu sahaja.

"Kalau dia (Anwar) tukar Fadhlina, orang biasa akan akan respect balik, maksudnya dia (Anwar) mendengar (kehendak awam).

“Maksudnya dia objektif – walaupun Fadhlina ni diketahui macam anak angkat dia sendiri, anak kawan baik dia, macam mana pun dia pertahan menteri pendidikan, tapi mesej rakyat jelas, dia (tetap) pertahankan mesej itu," kata Rafizi dalam program audio siar Yang Berhenti Menteri di saluran YouTubenya malam tadi.

Ramanan ganti menteri popular

Sebelum ini Anwar mengumumkan rombakan yang menyaksikan beberapa tokoh bertukar portfolio, selain sebahagiannya diberi kenaikan pangkat daripada timbalan menteri menjadi menteri.

Beberapa pelantikan lain juga menarik perhatian apabila ada ahli parlimen baru yang diberikan jawatan menteri penuh seperti Mohammed Taufiq Johari.

Untuk rekod Fadhlina merupakan Ahli Parlimen Nibong Tebal dan kini menjadi Ketua Wanita PKR.

Rasa kurang senang Rafizi terhadap Fadhlina bukanlah sesuatu yang baru. Ia menjadi lebih ketara menjelang pemilihan PKR lalu. Pada masa sama, sesetengah pihak berpendapat prestasi anak ahli akademik terkenal dan dekat dengan Anwar itu kurang memuaskan di KPM.

Sementara itu pelantikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, menjadi menteri yang bertanggungjawab mengelola Wilayah Persekutuan menarik kritikan pembangkang yang mengambil pendekatan berdasarkan kaum.

Anwar juga melantik Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui, sebagai timbalan. Lo merupakan ahli politik dari Parti Bersatu Sabah.

Kata Rafizi pemilihan Anwar bagi portfolio mentadbir Wilayah Persekutuan turut menarik perhatian ramai.

“Yang Ramanan (dilantik jadi menteri) itu orang PKR sajalah (bising), orang biasa tak peduli sangat pun," katanya lagi merujuk kepada Naib Presiden PKR, R Ramanan yang dibawa menerajui Kementerian Sumber Manusia oleh Anwar.

Ramanan yang juga bekas pemimpin kanan MIC sebelum menyertai PKR merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh.

Kata Razafi, walaupun pelantikan Ramanan dilihat tidak berapa menjadi isu, namun dia memberi amaran bahawa Anwar telah menghantar isyarat salah kepada penyokong PKR.

Apatah lagi, katanya, Ramanan menggantikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang dianggap cukup popular dalam kalangan penyokong PH.

Dakwa Rafizi dengan perkiraan itu Anwar seperti memberitahu penyokong PH bahawa apa pun sentimen yang ada, dia berkuasa untuk menentukan apa yang dirasakan perlu.

"Ia ditambah pula apabila Ramanan ambil tempat seorang yang popular dalam kalangan penyokong PH," katanya.

Tiada ulasan: