Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

SUAMI isteri maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit di Jalan Kuala Penyu/Bandau. FOTO Ihsan PDRM.
Beaufort: Suami isteri maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas dan terbalik ke dalam parit dalam kemalangan di Jalan Kuala Penyu/Bandau, berhampiran Pantai Pimping, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, pemandu kenderaan Ford Ranger, Christin Paun, 50, dan isterinya Marlyne Gumin, 42, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Anak perempuan mereka yang berusia lapan tahun dan berada di tempat duduk belakang tidak mengalami kecederaan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Penyu untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, Christin bekerja sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru, manakala isterinya pula pekerja pembersihan di sekolah yang sama.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dalam perjalanan dari Kuala Penyu menghala ke Bandau.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam parit di sebelah kiri jalan.
"Akibat daripada kemalangan itu, pemandu dan penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat.
"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan keselamatan ketika memandu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan