Omar Ahmad
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tindakan seorang wanita mengajak teman lelakinya bermalam kerana takut bersendirian membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di Ulu Tiram, di sini, awal pagi tadi.
Pasangan masing-masing berusia 20-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa JAINJ ketika serbuan jam 2.15 pagi.
Menurut JAINJ, wanita terbabit mengambil kesempatan mengajak teman lelakinya datang ke rumah ketika ibu bapanya pulang ke kampung atas urusan keluarga.
Katanya, lelaki berkenaan dikatakan singgah ke rumah itu sebaik habis kerja kira-kira jam 11 malam.
"Wanita terbabit memaklumkan kebiasaannya dia ditemani rakan perempuan, namun pada malam kejadian rakannya tidak dapat hadir.
"Wanita itu mendakwa takut tinggal berseorangan kerana kawasan perumahan itu sering diperhatikan warga asing," katanya dalam kenyataannya hari ini.
JAINJ bagaimanapun menegaskan alasan berkenaan tidak boleh diterima kerana jiran berada berdekatan selain isu keselamatan boleh diuruskan dengan cara lain.
"Apa pun alasan, yang penting kepada penguat kuasa adalah pasangan ini bukan suami isteri dan bukan mahram di dalam sebuah rumah. Maka kesalahan itu sangat jelas untuk dibuktikan," katanya.
Katanya, kes berkenaan akan didakwa di Mahkamah Syariah Johor Bahru dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan