Tarmizi Mohd Jam | |
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menghukumkan bahawa Dato Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar yang sah memperkasa demokrasi di Perak khususnya dan di Malaysia umumnya. Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari malam ini ketika diminta mengulas keputusan Hakim Dato Abdul Aziz Abdul Rahim petang semalam. Aziz mengakui yang beliau sendiri terperanjat dengan keputusan tersebut. "Kita harap keputusan ini memberi petanda bahawa ada harapan untuk kemunculan kehakiman yang bebas. Dan mudah-mudah ia fajar sadiq dan bukan fajar kazib," ujar pakar perlembagaan itu lagi. Beliau bagaimanapun mengakui ada banyak kesan politik yang belum tentu semuanya positif. Tambahnya, "kebebasan kehakiman adalah sesuatu yang turun naik dan pasang surut, hatta di negara-negara maju." Meskipun begitu keputusan mahkamah tersebut "tetap memperkasa demokrasi kerana ia akan menjadi rujukan penting di seluruh dunia Komanwel dan saya tidak nampak bagaimana mahkamah atasan - kalau BN benar-benar membuat rayuan - boleh mengubah keputusan tersebut." Lagipun, tambahnya, prinsip yang digunakan oleh mahkamah sebenarnya telah pun wujud lama. Ia juga, kata Aziz, lebih selaras dengan semangat dan peruntukan perlembagaan. "Keputusan itu sebenarnya adalah nadi kepada kerajaan kabinet yang nyawanya ialah sokongan majoriti dalam dewan," tegasnya. Beliau berkata keputusan mahkamah itu selaras dengan kedudukan kerajaan di dalam sistem demokrasi berparlimen atau Westminster. Aziz berkata apa yang menarik ialah meskipun kes itu bukan kes saman ke atas sultan ia bagaimanapun sebenarnya menyentuh kuasa sultan. "Dari sudut ini ia adalah kes yang terpenting di seluruh Komanwel dan ia menjadi isyarat bahawa istana harus berhati-hati dalam melaksanakan apa yang umumnya dilihat sebagai prerogatif itu," kata Aziz. Dua kes sebelum ini, yakni Stephen Kalong Ningkan (1966) dan Tun Datu Mustapha (1986) menangani kuasa perlantikan dan pemecatan oleh Yang diPertua Negeri dan bukan sultan. "Kuasa sultan ini bagaimanapun sama dengan kuasa Yang diPertua Negeri dan Yang diPertuan Agong di peringkat persekutuan," jelasnya. Ditanya apakah kes itu akan membakar semangat 31 ADUN Barisan dalam untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Nizar beliau berkata, "Kes ini menyatakan Nizar masih menteri besar dan ini memberi beliau alasan untuk memohon pembubaran. Dan kita harus ingat tiga ADUN itu masih digantung dan kedudukan speaker baru - meskipun tidak disentuh oleh mahkamah - tidak sah kerana sidang Khamis lalu dipanggil dan dijalankan dengan mengetepikan speaker yang sah. Penggulingan Sivakumar tidak betul. Sekiranya kita tidak mengatakan begitu pun selama tiga bulan lebih ini kita lihat begitu banyak isu yang kabur yang penyelesaian terbaiknya ialah dengan meminta rakyat membuat keputusan melalui pembubaran." Aziz berkata keputusan mahkamah tinggi ini memberi kesempatan baik untuk semua pihak membetulkan apa yang silap dan terlanjur. "Selama ini memang kita mengatakan bahawa sultan masih boleh membubar dewan tetapi ia tidak berlaku dan hari ini mahkamah memberi isyarat tersebut." Ditanya apakah tidak memadai jika Nizar kembali bertugas seperti biasa Aziz berkata: "Dalam sistem demokrasi jawatan dan kuasa sebegitu perlu mandat. Ini hak rakyat; istana atau mahkamah sekadar membantu jika berlaku kebuntuan. Takkanlah menteri besar hendak bergantung kepada istana atau mahkamah; tentulah ganjil dan tidak demokratik." Ditanya mengenai kedudukan kuasa membubar yang merupakan kuasa sultan Aziz berkata: "Ia memang kuasa sultan tetapi ia tidak bermaksud dijadikan kuasa mutlak atau kuasa milik peribadi. Kalau kita baca Laporan Suruhanjaya Reid dan amalan di seluruh Komanwel ia jelas untuk membantu; dan bukan membantut demokrasi." |
"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Keputusan Mahkamah Tinggi perkasakan demokrasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan