"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selsema Babi : Penumpang MH 091 digesa hubungi kementerian

Untuk mencegah penularan wabak influenza A(H1N1), Kementerian Kesihatan menggesa semua penumpang dan anak kapal penerbangan MH 091 dari Newark, Amerika Syarikat menghubunginya segera.

Penerbangan tersebut - membawa seorang pelajar Malaysia yang disahkan dijangkiti wabak tersebut hari ini - tiba di lapangan terbang KLIA pada 7.15 pagi kelmarin.

Semua penumpang dan anak kapal pesawat tersebut dikehendaki  menghubungi talian 
03-8881 0200 atau 03-8881 0300 untuk tindakan susulan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan.

Pelajar 21 tahun itu, yang baru pulang dari Amerika Syarikat pada Rabu lalu, mula mengalami demam, sakit tekak dan sakit badan semalam dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada hari yang sama.

bn penang koh tsu koon liow tiong lai 100808 03Mengesahkan kes pertama itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kakitangan kesihatan sedang berusaha mengesan semua penumpang dalam penerbangan MH 091 dari Newark dan mereka yang berhubungan dengan pelajar itu sejak kepulangannya.

"(Tindakan) ini amat penting dan semua perlu beri kerjasama untuk mencegah penularan wabak penyakit ini di negara ini," katanya dari London, lapor 
Bernama.

Liow, dalam perjalanan ke Geneva, Switzerland untuk menghadiri Perhimpunan Agung WHO dan sedang transit di London.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Mohd Ismail menegaskan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang dengan situasi influenza A(H1N1) - juga dikenali selesema babi - di negara ini. 

"Kementerian dengan kerjasama semua agensi terlibat sentiasa meningkatkan pemantauan situasi influenza A(H1N1) dalam memastikan tindakan proaktif diambil bagi melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, pemangku Menteri Kesihatan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata kementerian mengkuarantin rumah  kesemua lima anggota keluarga pesakit itu walaupun tiada antara 
mereka yang menunjukkan sebarang simptom setakat ini, lapor
Bernama.

Tambahnya, mereka yang mempunyai hubungan langsung dengan pesakit itu termasuk kakitangan hospital yang memeriksanya turut diletakkan bawah pemerhatian.

Kementerian dengan kerjasama Penerbangan Malaysia (MAS) juga
sedang menghubungi 192 penumpang dan tujuh krew dalam penerbangan tersebut untuk diperiksa.

Tambahnya, tetapi tidak semua penumpang terbabit berada di negara ini memandangkan ia merupakan penerbangan transit.

Kong, menteri perumahan dan kerajaan tempatan, memangku
jawatan tersebut sementara Liow ke Geneva, Switzerland.

Ditanya mengapa virus itu tidak dapat dikesan ketika pemeriksaan dibuat di lapangan terbang sebaliknya hanya dapat dikesan selepas dua hari apabila pelajar itu dimasukkan ke hospital, Kong berkata virus itu tidak menyebabkan demam serta-merta.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: