"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muktamar PAS : 25 Mei Tarikh Akhir Pengesahan Pencalonan

 
Jumlah mereka yang dicalonkan untuk bertanding jawatan tertinggi PAS dalam muktamar parti itu bulan depan paling ramai dalam sejarah pemilihan parti politik itu.

Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pemilihannya, Datuk Mustafa Ali menafikan pemilihan parti itu kali ini sebagai yang "paling panas" dalam sejarah parti itu.

"Cuma calonnya cukup ramai," katanya, sambil mengakui ia pertama kali berlaku dalam PAS.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan bilangan mereka yang telah dicalonkan bertanding merebut jawatan tinggi parti itu kali ini.

Sebaliknya, kata beliau, senarai calon yang layak bertanding kali ini akan diumumkan pada 16 Mei.

Muktamar PAS yang turut menyaksikan pemilihan pucuk pimpinannya akan diadakan pada 3 hingga 7 Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam.
Pencalonannya untuk jawatan tertinggi PAS bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli jawatankuasa pusat ditutup Ahad lepas. 

Perlu dua pencalonan

Bagi jawatan presiden, selain Abdul Hadi, sekurang-kurang satu PAS kawasan - Bukit Bintang - telah mencalonkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk bertanding presiden.

Setiap perlu mendapatkan dua pencalonan minumum daripada kawasan bagi melayakkan mereka bertanding.

Pencalonan dibuat sama ada sewaktu mesyuarat PAS kawasan atau diputuskan oleh jawtankuasa kawasan masing-masing.

Bagi jawatan timbalan presiden, Nasharuddin Mat Isa disebut-sebut akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua naib presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Mustafa yang juga pengarah pilihanraya PAS pusat berkata, calon yang layak mesti mengesahkan persetujuannya sebelum 25 Mei depan atau dianggap menarik diri.

Menurutnya, surat pemakluman berhubung perkara itu, dijangka dikeluarkan sebelum hujung minggu ini.

Mustafa yang bertanggungjawab mengawal selia perjalanan pemilihan itu kali ini bagaimanapun enggan mengulas sama ada penarikan diri di saat akhir dibolehkan.

"Itu kita cakap kemudianlah," katanya ringkas ketika diminta mengulas perkara itu

Tiada ulasan: