"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nasrudin sedia berkompromi

Walaupun menjadi calon pilihan, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan bersedia 'berkompromi' dalam persaingan merebut jawatan nombor satu dalam dewan tersebut.

"Saya lebih senang menggunakan musyawarah (rundingan). Tetapi kalau ada pihak yang mahu bertanding, itu terpulanglah kerana ia merupakan hak mereka," katanya ketika dihubungi 
Malaysiakinisemalam.

Menurut beliau, amalan musyawarah bagi menentukan jawatan tertinggi dalam parti, bersesuaian dengan semangat kerjasama dan kesepakatan dalam PAS.

Secara tradisinya, tambah beliau, tidak ada pertandingan bagi tiga jawatan utama dalam Dewan Pemuda PAS.

Mengulas lanjut, Nasrudin bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan mesyuarat exco Pemuda PAS bagi memutuskan sama ada perlunya memilih ketua melalui pertandingan ataupun tidak.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan yang akan dibuat walaupun sudah mendapat sokongan daripada sebahagian besar PAS negeri-negeri.

Mesyuarat exco Dewan Pemuda PAS pada 24 Mei ini dijangka membincangkan soal pemilihan parti termasuk kewajaran jawatan tertinggi dalam dewan itu dipertandingkan.

Dapat pencalonan terbanyak


Bagaimanapun, berdasarkan jumlah pencalonan terkini, sokongan terhadap Timbalan Ketua Pemuda dilihat mantap apabila Nasrudin mendominasi pencalonan untuk kerusi ketua Pemuda.

Seorang lagi tokoh Pemuda yang dicalonkan, Mohamad Zaki Ibrahim setakat ini hanya mendapat pencalonan tunggal daripada Kelantan.

Tiga lagi negeri - Sabah, Negeri Sembilan dan Melaka - belum lagi mengumumkan pencalonan mereka.

Sementara itu, Mohamad Zaki ketika dihubungi 
Malaysiakinimenyatakan "kesediaannya untuk berbincang" bagi menentukan siapakah yang akan mengetuai dewan itu.

"Kita akan bincang siapa yang layak duduk di situ. Ia penting untuk mengurangkan "politiking" dalam Pemuda," katanya.

Belum ada saranan kompromi

"Sekiranya ada (tokoh) bersesuaian, kita beri peluang. Kita ada masa lagi. Masih ada ruang untuk berbincang. Kita tengok dulu perkembangan politik semasa," katanya, juga ADUN Kelaboran.

Katanya, setakat ini beliau belum menerima cadangan atau desakan daripada mana-mana pihak untuk berkompromi dengannya..

"Setakat ini saya belum menerima apa-apa cadangan untuk berkompromi," katanya, juga timbalan Speaker DUN Kelantan

Mohamad Zaki bagaimanapun belum memutuskan hasratnya untuk bertanding kerana ingin mendapatkan "pandangan rakan-rakan" terlebih dahulu.

Tiada ulasan: