"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

"TAKDO KOJO CARI KOJO, ADO KOJO TERCONGANG-CONGANG'

"Tak do kojo cari kojo, ado kojo tercongang-congang", itulah kiasan bahasa popular orang-orang tua di NS, negeri Rais Yatim. Sudah tentu Rais Yatim faham maksud kiasan bahasa tersebut kerana Rais bukan calang-calang orang dari segi bahasa dan adat Melayu di NS ini. Kiasan tersebut memberi maksud lebih kurang begini, "Tak ada kerja cari kerja, ada kerja tercengang-cengang" maknanya bila tak ada kerja kita sibuk nak cari kerja, bila dah dapat kerja tak tau pula nak buat apa-apa.


Kiasan tersebut amat sesuai buat Najib dan Umno di Perak. Negeri Perak semasa di bawah YAB Ir Nizar berada dalam keadaan stabil dan harmoni, tiba-tiba Najib dan Umno/Bn Perak merancang sesuatu `pekerjaan' yang pada mereka mungkin dapat lebih meng`aman' dan menstabilkan negeri tersebut daripada apa yang ada ketika itu. Maka, terciptalah spesis-spesis katak yang boleh membantu kerja-kerja `mulia' mereka ini. Ditakdirkan maka mereka berjaya dalam usaha mereka yang `terpuji' ini. Setelah mereka mendapat hasil dari `kerja' yang mereka lakukan, kini rakyat di Perak dapat melihat apakah kesannya. Bertambah baik atau bertambah buruk keadaan di Perak, biarlah rakyat Perak menilai sendiri.

`Ado kojo tercongang-congang'. Itulah kiasannya keadaan di Perak waktu ini. Mereka kini sudah hilang punca dan tidak tahu hendak berbuat apa-apa lagi. Kerajaan negeri terumbang ambing sehinggakan di dalam berita di NT7 semalam Pembaca Berita menyebut MB Perak sebagai MB Pakatan dan MB Bn apabila merujuk kepada nama YAB Ir Nizar dan Zambry. Amat melucukan apabila Zambry mengatakan krisis di Perak sekarang tidak akan menjejaskan ekonomi dan pelaburan asing di Perak. Beliau juga menjemput pelabur datang ke Perak ketika saat kerusi yang beliau duduki sekarang `bergoyang-goyang' dan senget sebelah. Jika kita suami isteri sedang bergaduh besar atau bermasam muka di rumah, apakah ketika itu kita tergamak menjemput tetamu atau kawan-kawan datang ke rumah kita? Jika kita tidak jemput sekalipun, tetamu yang hendak berkunjung ke rumah kita apabila mendengar suara kita bergaduh sampai pecah pinggan mangkuk, apakah tetamu sanggup memberi salam untuk masuk ke rumah kita? Kalau saya tetamu itu, pasti saya akan lari kecuali tetamu itu kurang waras atau gila sahaja.

Saya melihat kenyataan TPM YAB Muhyiddin Yasin lebih bijak dan cerdik dari kenyataan PM sendiri. TPM meletakkan formula bahawa rakyat yang perlu diutamakan di dalam menangani krisis politik di Perak sekarang. Apabila ianya merujuk kepada rakyat, apakah bukan bermaksud rakyat diberi pilihan untuk memilih pemimpin mereka? Oleh yang demikian, wajarlah pandangan YAB Muhyiddin Yasin ini diterima apatah lagi Parti Gerakan di P.Pinang juga dikatakan bersetuju untuk dibubarkan Dun di Perak. Suhakam sendiri yang diketuai oleh bekas Peguam Negara juga mencadangkan agar Dun Perak dibubarkan. Sukar sangatkah untuk membubarkan Dun Perak? Memang kuasa pembubaran Dun di bawah DYMM Tuanku Sultan Perak, tetapi mengapa tiada pemimpin yang mengaku beliau seperti `Gandhi' ini berani mencadangkan ke Bawah DYMM Sultan?

Krisis memalukan di Perak ini mahu tidak mahu terpaksa Umno/Bn selesaikan sebelum PRK Dun Penanti nanti. Jika tidak, rakyat di P.Pinang khususnya di Dun Penanti akan mengajar Umno/Bn bagaimana caranya untuk memilih pemimpin. Samada rakyat di Perak masih mahukan PR sebagai kerajaan mereka atau pun mahukan Umno/Bn sebagai pilihan baru mereka, kita serahkan kepada rakyat di negeri tersebut. Jika merasakan kerajaan sudah tidak mempunyai ongkos lagi untuk menampung pilihanraya negeri ini, alternatif lain boleh dibuat iaitu dengan 3 orang Adun yang melompat itu meletakkan jawatan mereka. Masalahnya, mahukah 3 orang Adun tersebut meletakkan jawatan masing-masing kerana undang-undang melarang Adun yang meletakkan jawatan bertanding semula sertamerta. Itulah dia, "
Takdo kojo cari kojo'.


WFAUZDIN NS
wfauzdin.blogspot.com

Tiada ulasan: