"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri masuk ICU makan cendawan beracun

Sepasang suami isteri warga Thailand dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar selepas memakan sejenis cendawan liar di Bukit Tangga, Changlun, semalam.

Thongthi Poi, 50, dan isterinya Boonma Gaeonin, 41, memungut cendawan itu di kebun getah tempat mereka bekerja sebagai penoreh.

Kedua-duanya dibawa ke Hospital Jitra dan kemudian dihantar ke HSB selepas tidak sedarkan diri. Keadaan mereka dilaporkan semakin pulih.

Anak perempuan pasangan itu, Pavini Boonma, 21, yang ditemui di HSB, berkata emak dan ayahnya mengutip cendawan itu ketika menoreh getah di kebun untuk dijadikan makanan tengah hari.

"Selepas emak dan ayah makan cendawan itu yang dimasak sayur air, mereka menjadi pening dan melarang saya makan. Selepas pening, mereka tidur dan dua jam kemudian saya kejutkan mereka.

"Ayah saya sedar tetapi keadaannya sangat lemah manakala emak saya langsung tidak sedarkan diri. Saya meminta bantuan jiran menghubungi ambulans," kata Pavivi.

Pavini berkata emak dan ayahnya tidak mengalami muntah-muntah tetapi air liur mereka keluar dan berbuih seperti termakan racun.

Semasa dalam perjalanan ke hospital, kedua-duanya tidak sedarkan diri.

Thongtoi dan isterinya bekerja sebagai penoreh getah di Bukit Tangga sejak setahun lepas.

Pavani berkata emak dan ayahnya selalu makan cendawan dan kulat yang dipungut di kebun getah itu tetapi tidak pernah mengalami keracunan.

"Emak kata kawan-kawan dia beritahu cendawan itu boleh makan, sebab tu dia memungutnya untuk dimasak. Tak sangka pula jadi macam ini," katanya.

Pengarah HSB Datuk Dr Juita Ghazali yang dihubungi berkata pasangan suami isteri itu dirujuk ke HSB pada 11 malam tadi bagi mendapatkan rawatan rapi.

"Keadaan mereka beransur pulih tetapi masih dalam pemerhatian hospital," katanya.
-Bernama-

Tiada ulasan: