"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Giliran Ketua Polis Negara jadi Raja Lawak


ZULKIFLI YAHAYA 
Sewaktu perhatian seluruh rakyat jelata ialah untuk mencari jawapan sama ada pelakon dalam video lucah bikinan tiga Datuk yang menjadi pecacai Umno itu adalah benar-benar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau pelakon yang hanya mirip beliau; tiba-tiba Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa, memang benar video itu tulen.

Mendengar kenyataan ketua polis itu, sebahagian rakyat mulanya tergamam seketika di samping ada yang sudah panik, sebelum mereka kemudian ‘tersedar’ lalu gelak berguling-guling. Jika Datuk Ismail Omar adalah peserta Raja Lawak, maka undian untuknya minggu ini pasti yang paling tinggi.

Pihak polis terpaksa memanggil pakar untuk mengesahkan bahawa video itu adalah tulen. Tulen bermakna ianya bukan video plastik atau bahan mainan seperti kapalterbang mainan atau telefon mainan. Budak pra sekolah pun tahu sama video itu palsu atau tiruan.

Rakaman video itu juga adalah tulen, maksudnya bukan animasi.  Ini pun mudah dikesan. Pergerakan watak video animasi berbeza dengan rakaman watak manusia. Tak perlu pakar, peminat Upin dan Ipin tahu beza antara animasi dan rakaman. Itulah intisari lawak yang terkandung dalam kenyataan Ketua Polis Negara.

Walaupun ketulenan video bukan isu yang rakyat di seluruh dunia nak tahu tetapi kenyataan polis itu dieksploit habis-habisan oleh semua media talibarut BN. Semua media tersebut mahu mengaitkannya dengan Anwar. Kenyataan dalam berita menyebut “Polis telah mengesahkan bahawa video seks yang dikaitkan dengan pemimpin utama pembangkang sebagai rakaman tulen.” Ada juga media elektronik yang tidak bertanggungjawab membuang terus ayat “..yang dikaitkan dengan..” maknanya sudah sahih pelakonnya Anwar.

Rakyat tidak semuanya cerdik. Jika semua rakyat cerdik, BN sudah tumbang di bumi Malaysia. Ada yang menelan bulat-bulat laporan media. Mereka meyakini TV3 dan Utusan Malaysia bagaimana orang beriman meyakini Al-Quran dan Hadis. Apabila polis mengesahkan video itu tulen, bagi mereka sahlah pelakon itu Anwar.

Ekoran pengesahan bahawa video itu rakaman tulen, KPN berkata, siasatan kini dalam peringkat akhir dan hasil siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk tindakan susulan dalam tempoh terdekat. Siasatan dari aspek mana tiada pula dinyatakan.

Sukar untuk difikirkan bagaimana pengesahan ketulenan video boleh meletakkan siasatan sudah berada di fasa akhir. Sepatutnya ia berada di fasa awal. Selepas video itu disahkan bukan video plastik atau bukan video animasi baru siasatan terhadap semua aspek lain dilakukan. Ketulenan video bukan perkara besar yang mesti diberitahu kepada rakyat melalui sidang media, melainkan ia mempunyai agenda politik tertentu. Polis boleh menafikan mereka ada agenda politik tetapi dunia tahu mereka seolah-olah pelaksana agenda politin Umno/BN.

Batang tubuh Anwar, benar atau palsu; memang itu aspek utama yang perlu disiasat polis. Anwar tentu akan memberi kerjasama sebaiknya untuk mempastikan bentuk perut dan tubuhnya yang sebenar disiasat dan dibandingkan dengan siperut boroi yang menjadi watak utama filem lucah itu. Mudah sangat untuk dilakukan polis tetapi hingga kini Anwar belum diperiksa, tetapi KPN umumkan siasatan sudah di fasa akhir. Apa yang polis siasat?

Sama ada hasil siasatan itu menemukan siapa watak utama video lucah itu, ada lagi aspek lain yang polis mesti siasat. Antaranya tindakan tiga Datuk pecacai Umno itu menayangkan video lucah untuk tontonan umum. Sehingga ini mereka belum diambil tindakan.

Aspek lain ialah kehadiran pelacur China. Bagaimana Datuk Eskay tahu ia pelacur China? Siapa bapak ayam yang membekalkannya? Adakah isu pemerdagangan manusia ini disiasat habis-habisan? Di mana hotel cikai tempat berlangsungnya adegan seks itu? Siapa yang memasang kamera rakaman?

Eskay mengaku dia watak ketiga dalam video tersebut. Dia tahu dari awal ‘Anwar’ bermukah. Dalam sidang media dia beritahu jumpa video dengan tidak sengaja dan terkejut tengok video itu. Mengapa pula terkejut sedang dari awal dia sudah tahu? Siapa pula yang meletak piring cakera padat di situ selepas merakamkannya? Mengapa dia sengaja tinggalkan di situ? Adakah semua aspek itu disiasat polis?

Polis tidak pernah membuat sidang akhbar mengumumkan rampasan bahan bukti seperti alat perakam video atau serbuan terhadap hotel cikai itu, tiba-tiba umumkan video itu rakaman tulen.

Saya teringat akan ‘video seks Peruda’ yang menimbulkan kekecohan di seluruh negara suatu masa dulu. Orang yang dituduh ditahan reman beberapa hari. ADUN Kota Siputeh waktu itu, Datuk Abu Hasan Sarif dedahkan isu tersebut di Sidang DUN Kedah. Mahfuz Omar ambil kesempatan buat laporan polis terhadap Abu Hasan kerana menonton video lucah. Berhari-hari ADUN Kota Siputeh itu disiasat polis.

‘Video Seks Peruda’ adalah kes yang jauh lebih kecil berbanding video seks bikinan tiga Datuk pecacai UMNO. Logiknya mestilah banyak pihak yang terbabit. Namun hanya tiga orang dipanggil beri keterangan. Tiada tangkapan dan tiada tahanan reman. Tiada operasi mencari dan menangkap bapak ayam yang memperdagangkan manusia dari luar negara. Sewaktu kes disiasat, pihak penuduh (tiga pecacai Umno) bebas membuat kenyataan demi kenyataan. Polis tidak pula menghalang seolah-olah mereka memperolehi imuniti khas untuk terus membuat kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis.

Semua itu membina persepsi rakyat bahawa polis sudah diperalatkan oleh kepimpinan politik BN seperti yang berlaku pada 1998. Sekarang Anwar yang hilang populariti sejak beberapa bulan akibat isu DNA tiba-tiba memperoleh semula sokongan rakyat apabila ramai bersetuju bahawa beliau sedang dianiayai, dizalimi dan difitnah. Apabila orang yang marahkan pihak yang memfitnah Anwar berzina lebih ramai dari pihak yang marahkan Anwar kerana ‘berzina’ maka situasi itu akan membelit BN. Ramai pemimpin BN yang sedar bahawa mereka sedang berada di posisi defensif sekarang. Datuk Trio memang ‘bikin rosak’ BN punya strategi. Benarlah ayat Quran yang sering diungkapkan N. Gobalakrisnan bermaksud “Manusia merancang, Allah juga merancang. Allahlah sebaik2 perancang dan pembalas tipu daya.”

Pihak polis turut memudahkan kerja politik Anwar. Kemunculan KPN hanya untuk mengumumkan bahawa video tersebut adalah rakaman tulen meletakkan dirinya sendiri sebagai ‘orang yang dicurigai’. Kredibiliti KPN kini jatuh merudum. Di mata rakyat dia hilang kelayakan untuk pemimpin pasukan polis di seluruh negara. Jadi ketua polis balai pun kira tidak layak.

Tiada ulasan: