"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Harussani Kata Negara Sudah Jadi Tidak Berakhlak

ramziredang
Rupanya baru hari ini Harussani sedar negara ini tidak berakhlak. Sedangkan rakyat bawahan yang jahil sudah lama tahu bahawa Malaysia adalah negara yang tidak berakhlak. Harussani mungkin juga masih belum sedar, selama menjadi mufti, dia menjadi mufti di sebuah negara yang tidak berakhlak. 

Dalam menterjemahkan fungsi mufti, Harussani umpama memilih dirinya untuk menjadi seorang pengulas sukan bolasepak, memberitahu bola ditendang ke sana sini tetapi bukan sebagai pengadil yang mampu menegur dan mengawal perlawanan.

Di turunnya para rasul dan nabi nabi tidak lain hanyalah berkaitan kepercayaan terhadap agama dan akhlak. Dengan agama yang benar sahaja yang dapat membentuk akhlak yang baik di kalangan manusia dan menjamin keselamatan manusia tidak kira bangsa dan warna kulit.

Tugas yang dipikul para nabi dan rasul ini, telah ditinggal untuk diwarisi, dipikul dan digalas oleh para ulama. Ianya sangatlah berat, tetapi itulah gunanya ulama. Tugas ulama tidak sekali kali ringan. Tidak sekali kali dia boleh lalai dari tugasnya. Tidak sekali kali dia boleh menyeleweng dari tugasnya.

'Ulama' bukanlah orang yang hanya ada selepas kewafatan Rasullullah s.a.w tetapi ianya juga ada selepas peninggalan nabi nabi terdahulu. Malah alquran menyebut berbagai fungsi dan tafsiran tentang ulama.

Perkataan 'ulama' dari alquran adalah kata jamak bagi adjektif alim yang bermaksud, mengetahui, berpengetahuan, berilmu, mahir, terpelajar dan bijaksana.

Contoh contoh adjektif yang dipadankan dengan manusia dalam alquran adalah:

1. Tukang sihir, dalam cerita Nabi Musa
2. Untuk Nabi Yusuf, alim dalam penjagaan perbendaharaan negara.
3.Untuk anak yang alim, Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
4. Untuk ulama Bani Israil yang menyelewengkan ajaran Nabi terdahulu
5. Ulama yang benar benar memelihara agama Allah dan menjalankan fungsi sebagai pengganti dan pewaris Nabi.


Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada dua, ulama akhirat (yang sebenarnya) dan ulama dunia (yang menyeleweng).

Antara ciri ulama dunia berdasarkan kitab Ulama al-suq ulama al-dunya karangan al-amin al-haj Muhammad Ahmad adalah:
- Menyembunyikan ilmu dan kebenaran.
- Cintakan dunia dan perkara perkara yang berkaitan.
- Mengikut hawa nafsu
Berkeinginan untuk mendampingi dan mendekati pemerintah
- Berpura pura dalam masyarakat.
- Menjanjikan akhirat dengan dunia mereka dan di dalam kehidupan mereka melebihkan perkara dunia serta lainnya. 
- Mengkaji dan menyelidik kesalahan
- Fatwa dengan mengikut pendapat hawa nafsu dan kepentingan diri
- Dengki dan benci serta tidak insaf.
- Berbeza amalannya dan kata katanya. Katanya lain tetapi praktikalnya lain
- Berdolak dalih dan berhelah.
- Menjawab sesuatu dengan akal dan mengingkari serta bongkak untuk menerima kebenaran.

Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Ulama itu ada tiga jenis. (Pertama) orang yang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) dan masyarakat juga hidup dengan ilmunya. (Kedua) orang yang alim yang masyarakat mengambil manfaat dengan ilmunya tetapi dia sendiri membinasakan dirinya (tidak mengamalkan ilmunya). (Ketiga) orang alim yang hidup dengan ilmunya (mengamalkan ilmunya) tetapi orang lain tidak mengambil manfaat dari ilmunya.

(Riwayat ad Dailami )
Rumusannya: Jika Harussani sekadar berkata kata negara ini sudah menjadi tidak berakhlak, tanpa ia menyedari bahawa salah seorang yang patut disalahkan adalah dirinya sendiri tentang tidak berakhlaknya negara itu. Umpama seorang guru kelas yang menyalahkan muridnya bising dan tidak berakhlak, sedang dia adalah guru kelas tersebut yang sepatutnya mengawal muridnya.

Setiap insan yang datang ke dunia pasti akan mati dan dipersoalkan tentang tanggungjawabnya. Sudah tentu jika seseorang itu ber'title' seorang mufti. maka malaikat akan bertanya satu persatu tentang tugas mufti, apakah tanggungjawabnya serta tugasnya dan apakah tugasnya disempurnakan dengan sepenuhnya.

Berkata ibnu Athaillah:" Takutkanlah kamu daripada wujudnya kebaikan nikmat Allah kepada engkau, sedangkan kamu masih melakukan perkara yang buruk (maksiat atau membiarkan maksiat berlaku) bersama dengan kebaikan nikmat itu. Kerana semua nikmat kebaikan itu akan berubah menjadi istidraj bagimu sebagaimana firman Allah :"Kelak aku akan menariknya secara beransur ansur ( ke arah kebinasan)  dengan cara yang mereka tidak ketahui."

Tiada ulasan: