"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apakah gaji Najib setimpal prestasinya

SHIRZAD LIFEBOAT
“TANGAN yang memberi adalah antara tangan yang mengambil balik. Wang ringgit tidak ada tempat tumpah darah, pembiaya/pemodal tidak memiliki patriotism dan tiada kesopanan, matlamat tunggal mereka adalah untuk mendapat keuntungan.”
Kata-kata di atas dituturkan oleh Napoleon Bonaparte pada suatu ketika. Ia menyimpulkan ciri ketamakan dalam sistem ekonomi dikenali sebagai kapitalisme

Di satu tangan, kapitalisme mungkin baik. Lebih banyak diusahakan, lebih tinggi hasil dituai. Namun di sebelah tangan lain, kapitalisme terlampau memupuk sifat tamak, tidak berperikemanusiaan dan mementingkan diri sendiri. Ia bukan sahaja bercanggah dengan asas keperibadian umat Islam tetapi juga tidak secocok dan sealiran dengan norma kemasyarakatan apa agama sekalipun.
Dalam sebutan ekonomi sesebuah negara, kapitalisme terlampau mengakibatkan sementara golongan kapitalis – kerajaan dan pemodal – bertambah kaya, rakyat biasa terpaksa dihimpit kemiskinan

Tak perlu melihat jauh bagi memahami bagaimana kapitalisme terlampau beroperasi. Malaysia misalnya adalah sebuah negara kaya. Dulunya, kelapa sawit, getah dan bijih timah serta produk ‘derivative’ komoditi berkenaan menjadi sinonim kepada ekonomi Malaysia. Kini sumber ekonomi negara diperkukuhkan lagi dengan petroleum dan gas asli selain daripada pengimportan pelbagai barangan dihasilkan oleh sama ada pelabur termpatan atau pelabur luar.

Mudah melihat, sekiranya tadbir urus kewangan negara dilakukan dengan baik dan orang berkelayakan diberikan tugas berkenaan, ekonomi Malaysia tidak perlu berasaskan percukaian yang sentiasa meluas dan membebankan rakyat

Malangnya, sebagaimana dilihat dan dirasakan, kewangan negara tidak diuruskan sebagaimana sepatutnya dan orang yang melantik dirinya untuk menjalankan tugas tersebut pula bukan ahlinya. Begitulah maksud hadis Nabi Muhammad s.a.w., apabila sesuatu tugas itu tidak diberikan kepada ahlinya maka tunggulah saat kehancurannya.

Melihat; kepada unjuran hutang negara bakal melepasi angka RM1 trilion dalam masa beberapa tahun lagi, pergantungan hasil kerajaan kepada percukaian kian meluas dan bakal menyentuh semua lapisan rakyat apabila GST diperkenalkan kelak, defisit dalam belanjawan negara sejak 2004, kenaikan semua barangan dan perkhidmatan mengakibatkan penurunan ketara kuasa membeli ringgit dan pengucupan nilai ringgit itu sendiri, hutang seiisi rumah yang kian melangit, maka segala resepi dan petanda kehancuran semakin terbentang di hadapan mata

Sebagaimana disebutkan dalam penulisan-penulisan lalu, Bajet Malaysia di bawah kerajaan BN jauh lebih mementingkan golongan kapitalis berbanding dengan golongan rakyat biasa. Banyak dasar fiskal dibuat menjurus kepada keuntungan dan manfaat bakal diraihkan oleh golongan kapitalis ini.

Tidak cukup dengan itu, jika sifir persamaannya sukar diselaraskan, maka akhirnya rakyatlah yang terpaksa menjadi pelengkap kepada penyelasaran ini dengan ditokok dan dikenakan pelbagai cukai dan dikurang atau diambil semula pelbagai subsidi.

Pemerhatian seperti ini adalah, bak kata simpulan bahasa Inggeris, ‘across the board’ atau amat meluas. Ia diperkatakan oleh pesawah, pengusaha pukat tunda, pekerja pejabat dan sesiapa sahaja. Yang menafikannya cuma pemimpin dan ahli politik Umno-BN sahaja.

Seorang anggota profesional minyak dan gas yang sedang melanjutkan pelajarannya di peringkat doktor falsafah turut membuat perhatian serupa melalui tulisannya dalam harian kewangan The Edge (edisi 25 Oktober 2013).

Antara lain Anas Alam Faizli, juga pengasas bersama Blindspot, sebuah think tank penyelidikan dan juga pengasas Bantah TPPA menyatakan (diterjemahkan secara bebas): “Malaysia dianugerahkan sumber asli melimpah, dengan petroleum paling berharga.

Ditambah dengan tanah, lain-lain sumber komoditi serta populasi golongan belia maka negara ini memilik semua ramuan utama bagi berkembang maju. Namun bagaimana negara kecil dengan populasi hampir 30 juta ini boleh menjadi antara negara paling tidak saksama di rantau ini apabila membabitkan jurang di antara yang kaya dengan yang miskin? Apa sudah terjadi?”

Siapakah sepatutnya menjawab soalan ini? Jika kita sendiri menjawabnya dan menawarkan penjelasan berdasarkan kepada penyelidikan dan penemuan fakta, maka jawapan tersebut sudah tentu akan disangkal oleh pemimpin Umno-BN.

Jika soalan tersebut diajukan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kita sudah pun boleh meneka jawapannya. Bagi Najib, ekonomi kita kukuh, hutang kita terkawal dan diuruskan dengan baik, transformasi berjalan lancar, rakyat tak ada masalah ekonomi dan bla, bla, bla.

Benarkah begitu? Justeru ia mengundang persoalan lain:

Apakah jumlah pendapatan diterima Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan dibayar oleh duit rakyat itu setimpal dengan hasil dan prestasi ditunjukkan dan banyak mana pula yang diterima oleh rakyat? Atau apakah gaji dari wang rakyat itu adalah untuk menyusahkan rakyat?

Inilah antara persoalan kita harus fikirkan.
-detikdaily-

Tiada ulasan: